Friday, May 15, 2009

Orang alim itu ialah yang membawa pada yakin..

Post tentang pergerakan dalam zikir yg lalu saya tulis sbg kesinambungan kepada perlunya kita sesama muslim bersangka baik dan hormat menghormati antara sesama muslim. Jangan terlalu mudah menyalahkan amalan orang lain jika kita tidak iqna’ dengan dalil dan amalan mereka. Disini suka saya berkongsi pengalaman yang diceritakan oleh guru saya Syaikh Yusuf al-Bakhour al-lubnani mengenai pergerakan dalam zikir.
Beliau berkata, dahulu ketika belajar di Mesir beliau terlibat dengan Jemaah Ikhwan Muslimin melalui sayap pergerakan jemaah itu bagi pelajar ajnabi yang dinamakan A’lami. Beliau tidak terlibat dengan gerakan kesufian sepertimana sekarang. Apabila pulang ke syiria, beliau hadir dalam majlis hadrah zikir yang dihadiri oleh ribuan orang dan diketuai oleh Syaikh Saied Burhanuddin yang merupakan anak murid kepada Syaikh Muhammad al-hashimi.
Tetapi apabila mereka mula berzikir secara berdiri dan mengerak-gerakkan badan maka beliau duduk ditepi tidak mahu turut berzikir dengan mereka. Perbuatannya rupanya diperhatikan oleh Syaikh Saied Burhanuddin. Selepas majlis, syaikh saied menyuruh seorang pemuda memanggilnya kerana Syaikh saied mahu berjumpa. Lalu Syaikh saied bertanya:
“wahai anakku, kenapa engkau tidak mahu turut serta dengan kami, Engkau mengingkari perbuatan kami berzikir dalam keadaan begini yaa.. datangkan dalilmu bahawa nabi melarang berzikir seperti yang kami lakukan kerana al-baiinah (hujah untuk menuduh) diatas orang yang mendakwa (ini kaedah dalam feqh)”
Lalu kata syaikh yusuf, aku terkedu. Kerana aku tiada mengatakan yang aku mengingkari dengan lisan biarpun sememangnya aku mengingkari dalam hati. Bila aku fikirkan, sememang nya aku tiada dalil untuk mengatakan perbuatan itu salah. Akhirnya, kerana tidak tahu untuk mendatangkan dalil aku berkata “ kerana Nabi tidak pernah melakukannya” . (Dalam usul feqh ini dinamakan at-tark). Dalil “kerana Nabi tidak pernah buat itu” membuat kami semua sama-sama tergelak.
Lalu Syeikh Saied mendatangkan dalil yang saya tulis dalam post yang lepas. Diwaktu itu kata syaikh yusuf, barulah aku sedar yang sebenarnya aku masih jahil dan banyak yang tidak tahu. (biarpun ketika itu beliau sudah memperolehi Master dalam syariah).
Kata syeikh yusuf, Syaikh Saied telah menghilangkan segala waham dan ragu-ragu dalam hatinya dan bila dikenang kembali katanya, semua ini kerana dia ketika itu mempunyai mind setting bahawa gambaran Islam yang sebenar ialah Islam yang difahami dengan kadar ilmu dan akalnya. Apabila melihat orang lain berzikir sambil mengerak-gerakkan badan beliau mengingkarinya kerana gambaran Islam itu tiada dalam fikirannya.
Dari situlah beliau sedar bahawa Islam ini perlu difahami dengan apa yang difahami oleh para ulama’ rabbani berdasarkan dalil Quran dan Sunnah bukannya berdasarkan apa yang kita faham daripada dalil Quran dan Sunnah.
Itulah kisah yang diceritakan oleh syaikh yusuf kepada kami. Dan bagi saya kisahnya itu amat besar maknanya dalam diri saya sebagai seorang yang jahil segala benda. Saya masih ingat kata seorang guru saya, bahawa tanda orang alim itu ialah membawa kita daripada syak kepada yakin dan bukan sebaliknya. Seorang yang alim tidak melontarkan persoalan mahupun jawapan yang menyebabkan kita syak dengan amalan kita. Tetapi membawa kepada keyakinan apabila kita ragu-ragu. Boleh tak boleh zikir dalam keadaan bergerak nie. Boleh tak boleh baca yassin malam jumaat nie. Boleh tak boleh talaffuz niat sebelum solat nie. Sampai tidak pahala bacaan quran kita pada orang yang telah meninggal.
Apabila bertemu ulama rabbani, insyaAllah mereka akan membawa kita kepada keyakinan tetapi jika bertanya pada bukan ahlinya, maka syak dalam amalan kita bukan sahaja bertambah tetapi syak itu akan bersiri-siri dengan amalan yang lain. Seperti bersirinya cerita Prison Break Scofield. Dari satu ke satu, dari satu ke satu. Lalu kita mula meragui amalan yang selama ini kita lihat ulama’-ulama’ tanah melayu kita amalkan. Lebih dasyat dari itu kita mula mendatangkan syak kepada orang lain dengan melontarkan persoalan-persoalan yang membuat orang lain juga syak dengan amalan dan aqidah yang mereka pegang.
Saya ada menterjemah dan menulis dalam blog ini mengenai persoalan yang bermain dalam fikiran saya mengapa syaikh ali Jumaah menggunakan istilah “akhraja” (أخرج) apabila menyatakan sesuatu hadith yang terdapat dalam shohih bukhari dan muslim. Diwaktu yang sama, beliau menggunakan istilah “awrada” (اورد)apabila menyatakan hadith yg terdapat dalam musnad Imam Ahmad. Saya tidak fikir syaikh Ali jumaah sebagai seorang ulama’ rabbani sengaja menyebut begitu. Bagi saya, dan itu yang saya pegang, apabila seorang ulama’ rabbani berbicara dengan ilmunya nescaya ada isyarat yang ingin disampaikan olehnya.
Saya mencari jawapannya, dan saya berjumpa. Tetapi saya tidak iqna’ dengan diri sendiri kerana guru-guru saya mengajar bahawa ilmu itu perlu diambil dari ulama’. Biarpun kadangkala saya bertemu jawapan, tetapi selagi tidak ditaqrir oleh ulama’ yang saya thiqah, saya tidak akan save dalam otak sebagai permanent file. Lalu saya lontarkan persoalan itu kepada syaikh Muhammad iwaad, anak murid syaikh yusuf yang mahir dalam ilmu hadith dan beliau adalah pemilik maktabah haramain di Husin. Beliau adalah seorang yang amat ketat dengan disiplin ilmu hadith sehinggakan apabila mengijazahkan sperti kitab hadith Muwatta’ Imam Malik, beliau akan memastikan mereka yang mendapat ijazah sanad hadir dalam semua majlis hadithnya. Jika dia mengetahui ada yang seperti ‘biskut’, kejap ada.. kejap takde, maka dia akan ijazahkan sanad dengan menulis pada sanad itu mengambil hadith darinya secara ‘tafaawutan’ kerana mahu memelihara kedua-dua juzuk dari sanad (sanad lafaz dan sanad pemahaman).
Apabila ditanya, penjelasannya bahawa akhraja itu lebih khusus dari awrada. Bermaksud, ‘akhraja’ itu dianggap juga ‘awrada’ tetapi ‘awrada’ itu bukan ‘akhraja’.Alhamdulillah itulah yang saya faham. Kemudian saya nyatakan, adakah Syaikh ali apabila mengatakan awrada itu kerana hadith-hadith dalam musnad imam Ahmad yang ada sekarang disempurnakan oleh anak dan anak muridnya, maka ada sanad-sanad dalam musnad Imam Ahmad bukan dari makhrajnya tetapi dari makhraj anaknya atau muridnya. Katanya bukan sebab itu,sememangnya musnad Imam Ahmad itu kedapatan hadith yang datang dari makhraj guru-gurunya dan bukan dari makhrajnya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana bertemu dengan ulama’ yang sekali lagi meyakinkan apa yang saya ragu.
Dan begitulah saya sarankan kepada sesiapa yang syak dan ragu dengan urusan agama ini, bertanyalah pada ulama’ pada bidangnya. Jika persoalan aqidah, tanyakan kepada ulama’ tauhid. Jika persoalan feqh, tanyakan kepada ulama’ feqh dan jika persoalan hadith, tanyakan kepada ulama’ hadith. Begitu juga dalam perubatan, penyakit kanak-kanak jangan ditanya pada Dr OnG. Biarpun mereka mengetahuinya, tetapi jawapan yang paling tepat ada pada dada paediatrician bukan pada doctor OnG. Kerana mereka hidup dan bergelumang dalam bidang itu.
Rujukan tauhid saya ialah syaikh saied abdul latif foudah (Jordan) dan syaikh yusuf al-bakhour, ada lagi ulama’ tauhid di mesir tetapi saya tidak kenal. Rujukan feqh saya ialah ulama’-ulama’ bermazhab syafie.Di kalangan ulama mesir ialah Syaikh Ali Jumaah, Syaikh Dr Yusri. Dikalangan ulama’ tanah melayu ialah syaikh nurruddin al-makki,syaikh Dr afifi al-akiti dan syaikh mohd hafiz jenderam. Syaikh afifi biarpun duduk di London, tetapi beliau memondok di Indonesia dan kefahamannya terhadap feqh syafie tanah melayu adalah amat mendalam.
Rujukan tasawwuf saya ialah syaikh yusuf al-bakhour. Bukan saya tidak thiqah dengan keilmuan syaikh yusuf dalam feqh, tetapi beliau yang menganjurkan saya merujuk kepada ulama’ syafie kerana beliau bermazhab hanafi. Rujukan hadith saya ialah syaikh mohd iwad (orang libya tetapi menetap di mesir) dan syaikh mohamad ibrahim al-kattani. Rujukan nahu dan saraf saya dahulu disini ialah Syaikh Hasanuddin Sulawesi tetapi beliau telah pulang.
Rujukan saya dalam tafsir dan pemahaman hadith secara umum ialah semua ulama diatas. Kerana jika mereka itu tidak mahir tafsir dan hadith nescaya mereka tidak digelar ulama’ tetapi secara khusus, tafsir dan pemahaman hadith saya rujuk kepada Syaikh Muhammad Ibrahim, Syaikh Ali Jumaah dan Syaikh Yusri. Saya menyebut nama-nama syaikh disini bukan bermakna saya mendakwa saya anak murid mereka mahupun mendakwa yang saya pernah mengaji dengan mereka. Tidak sama sekali, sebahagiannya tidak mengenali langsung saya,tetapi saya thiqah dengan apa yang mereka katakan. Saya berpegang dengan mereka. Mereka adalah ulama’ rabbani.
Dalam hal politik dan siasah, saya berpegang dengan ulama’-ulama’ tua dalam PAS. Prinsip hidup yang diajar oleh pakcik saya mudah, ikut ulama’ jangan memandai-mandai. InsyaAllah selamat dunia akhirat.
Nabi dah berpesan kan, para ulama’ itu waris nabi. Mungkin ada yang berkata, nabi pesan ikut Quran dan Sunnah dan dalam Quran pun sebut jika ada yang kita berselisih balik kepada Quran dan Sunnah. Benar, tetapi nak faham Quran dan Sunnah itu berhajat kepada ulama’. Maka apabila ikut ulama’ tak secara langsung kita ikut Quran dan Sunnah. Quran juga sebut jika tak tahu bertanya kepada ahli az-zikr. Mufassirin sepakat kata ahli az-zikr itu ialah ulama’. Qaulan wahidan tiada khilaf.
Sebagai penutup, saya naqalkan kata-kata Syaikh Abdullah as-siddiq al-Ghumari rahimahullah mengenai ayat dalam Quran yang menyuruh kita kembali kepada Allah dan Rasul iaitu Quran dan sunnah jika kita berselisih pendapat.

فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر ذلك خير وأحسن تأويلا

Beliau menyatakan bahawa ayat ini biarpun membawa maksud umum, iaitu saranan supaya kita kembali kepada al-Quran dan sunnah jika berselisih pendapat tetapi dari segi pengamatan yang mendalam ayat ini adalah khusus untuk para ulama’. Kerana orang awwam tidak mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan hukum langsung dari Quran dan Sunnah sebaliknya kena merujuk ulama’ dan bertanyakan mereka tentang sesuatu hukum. Orang awwam tidak boleh berbicara apa pun tentang tafsir ayat mahupun hukum hakam melainkan dengan cara menaqalkan dari ulama’, malah mereka tidak boleh mengubahsuai(baca=memandai-mandai) apa yang dinaqalkan kerana mereka bukan ahli untuk berbuat demikian. Dan dalil kepada apa yang dinyatakan ialah:

أفلا يتدبرون القرآن، ولو كان من عند غير الله لوجدوا فيه اختلافاً كثيراً، وإذا جاءهم أمرٌ من الأمن أو الخوف أذاعوا به، ولو ردّوه إلى الرسول وإلى أولي الأمر منهم لعلمه الذين يستنبطونه منهم

Maka rujuklah kepada ulama’ apabila kita syak,ragu-ragu dan tidak tahu. Berpegang pada ulama’. Biar dicemuh kita ini jumud kerana bertaqlid. Tiada aibnya kita mengaku jahil daripada kita mendakwa dan bercakap dengan sesuatu yang kita tidak tahu lalu menyangka bahawa kita telah melakukan kebaikan sedangkan tanpa kita sedari kita telah mencelarukan ummat. Wallahua’lam.

Abu Abbas Lutfi
Manyal, Kaherah.

5 Comments:

At Monday, May 18, 2009, Anonymous Anonymous said...

orang alim membawa yakin, makna nya org yg membawa hura-hura dan kacau bilau ialah yg jahil?

Kalo kt orang lain senang nak nampak, tp bile terkena dekat diri sendiri tu yg tak sedar2. Perasan power. betul?

Kalo betul, dari nyusahkan orang, pelangkung aje kepala

 
At Tuesday, May 19, 2009, Anonymous mrssalman said...

Salam

Sidi Hidir yang dirahmati.

Terima kasih atas perkongsian kupasan permasalah yang detail ini.

Semoga Sidi dapat terus berkongsi dan mengupas demi menggalakkan pencarian ilmu yang sohih di sana di kalangan ahli-ahil/junior-junior.

Amat menakutkan dan menyedihkan seolah-olah ada budaya baru yang membawa pemikiran bahawa Azhar dan Ulama'nya salah lagi beriktikad salah jesteru wajib bagi mereka membersihkannya.

Sikap mereka yang tidak mahu atau benar-benar bertalaqqi dengan sekian para Masyayeikh yang muktabar, berdebat di laman-laman blog dalam perkara-perkara yang furu atau khilafiyyah dan berdebat dengan mereka yang ahli dan tidak mengambil peluang betul-betul mengaji, berbincangan secara muwajahah dengan niat yang betul-betul ingin mencari kebenaran amat mendukacitakan. Mereka membawa pemikiran yang skeptik hasil dari terapan manhaj tertentu sejak dari Malaysia, menyebabkan pencarian ilmu bertukar sempit.

Semoga ilmu para Salaf dan Ulama' yang benar lagi tulen akan terpelihara. Amin.

Allahua'lam.

 
At Tuesday, May 19, 2009, Blogger i1 said...

ana seorang yg jahil...

Awrada n Akhraja pun x tau... ish2...

sedih ngan diri sendiri...

 
At Sunday, May 24, 2009, Anonymous Anonymous said...

Bolehlah kiranya saudara meletakkan makna petikan-petikan hadis-hadis,kerana arab tulisan yang ujud di monitor ini menjadi sangat kecil tidak dapat ia dibaca.

 
At Friday, May 29, 2009, Blogger SofwatunNil said...

MrsSalman,
t.kasih atas galakan.tp sy menanti tulisan salman.Pesan dia kuarkan buah fikiran dia dlm tulisan.Kalo dia ada luah dlm perkataan.Tulis balik.Post..hehe.
i1,
Relaks..ana pun jahil gak.Tau akraja,awrada tue bkn syarat sah amal pun.xtau pun takpe.iman bkn sbb byk ilmu.tp byk amal.maaf yer bl ana tulis cmtue,enta terasa.Xniat langsung,cm dtgkn misal aja.
ashraflatif,
maaf ssb font arabic kecik yer. sy nak edit smua byk plak.Lain kali sy besarkn.Cm utk skrg,sdr zoom aja kat view option.jelas insyaAllah. sy xterjemah, sbb b.arab bl trjemah kena teliti.takut salah mafhum.sbb tue sy ambik 'syahid' aja pd nas arab. Maafkn sy. Lain kali sy cuba letak makna2 penting. t.kasih bg komen.

wassalam.

 

Post a Comment

<< Home