Friday, May 15, 2009

Pergerakan dalam zikir

Pergerakan dalam zikir itu pada pendapat ulama sufiah adalah suatu yang baik. ( (امر مستحسن kerana pergerakan itu mengaktifkan tubuh badan dalam berzikir. Ini adalah harus dari segi syara’ berdasar kan hadith yang diwaridkan oleh Imam Ahmad radiyallahanhu dalam musnadnya.

حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَتْ الْحَبَشَةُ يَزْفِنُونَ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَرْقُصُونَ وَيَقُولُونَ مُحَمَّدٌ عَبْدٌ صَالِحٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَقُولُونَ قَالُوا يَقُولُونَ مُحَمَّدٌ عَبْدٌ صَالِحٌ

Hadith ini menunjukkan bahawa nabi tidak menegah segolongan orang habsyah yang menari sambil berkata “Muhammad hamba yang soleh” . Maka ulama’ sufiah melihat bahawa dari hadith ini bahawa boleh menggabungkan antara gerakan yang harus (dari segi syara’) sambil memuji-muji Rasullah kerana pergerakan sambil berzikir itu bukanlah bentuk tarian yang diharamkan. Bahkan pergerakan itu seperti disebutkan mengaktifkan tubuh badan, disamping membuatkan hati itu hadir dengan ingatan kepada Allah JIKA betul niat pelakunya. Maka setiap perkara itu adalah berdasarkan niat. 

Selain itu ulama’ sufiah berdalil keharusan pergerakan dalam zikir berdasarkan apa yang diucapkan oleh saidina Ali karramallahu wajhah ketika mensifatkan para sahabat ketika berzikir.

قال أبو أراكة: صلّيت مع علي صلاة الفجر، فلما انفتل عن يمينه مكث كأنَّ عليه كآبة، حتى إذا كانت الشمس على حائط المسجد قيد رمح صلى ركعتين، ثم قلب يده فقال: والله لقد رأيت أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، فما أرى اليوم شيئاً يشبههم، لقد كانوا يصبحون صفراً شعثاً غبراً، بين أيديهم كأمثال ركَب المَعزى، قد باتوا لله سجداً وقياماً، يتلون كتاب الله يتراوحون بين جباههم وأقدامهم،فإذا أصبحوا فذكروا الله مادوا ]أي تحركوا [ كما يميد الشجر في يوم الريح، وهملت أعينهم حتى تنبلَّ - والله – ثيابهم

Kalam saidina ali ini diriwayatkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Kathir radiyallahanhu dalam kitab bidayah wa nihayah. 

Maka berdasarkan dalil ini, Syaikh Abdul Ghani an-Nablusi al-hanafi radiyallahanhu ( 1641-1730 M ) mengatakan bahawa sunat bergerak ketika berzikir kerana dalil ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat bergerak-gerak dengan gerakan yang syadid (tidak setakat menggeleng kepala) dalam zikir. Gerakan mereka itu dimisalkan dengan bergoyangnya pokok ketika angin kuat oleh Saidina Ali. 

Bagi mereka yang biasa melihat para huffaz menghafaz Quran, kita akan melihat mereka menggerak badan kedepan dan kebelakang.Apa yang mereka lakukan bukanlah bidaah tetapi pergerakan itu terhasil kerana konsentrasi dalam menghafaz Quran yang menghasilkan satu refleks yang dinamakan al-wajd. Begitu juga halnya dengan mereka yang berzikir dan bertahlil. Konsentrasi mereka dalam mengucapkan kalimah nafi dan istbat itu menyebabkan badan atau kepala mereka bergerak-gerak.

Bagi mereka yang hadir dalam hadrah zikir, mungkin melihat pergerakan anak-anak murid itu kadangkala melebih-lebih daripada syaikh. Ini kerana para masyayikh telah mendapat kelazatan berzikir lebih dahulu, maka alunan zikir itu tidak terlalu mengujakan mereka. Sedangkan anak-anak murid yang hidup dalam ghaflah mengecapi nikmat dan seronok dengan zikir itu apabila zikir dialunkan. Maka refleks mereka berlebih-lebihan apabila menikmatinya. Ini dimisalkan dengan seorang yang mendapatkan makanan yang cukup lazat, sedangkan orang lain telah memakan makanan itu sejak sekian lama. Maka orang yang baru menikmati makanan itu akan teruja hingga makan menjilat jari. Sedangkan mereka yang telah biasa menikmatinya, biarpun lazat tetapi mereka menjaga tertib agar tidak dilihat orang sebagai pelahap. Para masyayikh merasai kelazatan berzikir, tetapi mereka menjaga adab perlakuan mereka dengan mungkin hanya mengerakkan kaki, kepala atau menepuk-nepuk peha. 
Dalam hal ini, para ulama sufiah mendatangkan dalil dalam sirah selepas kemenangan perang khaibar dimana saidina Jaafar bin Abi tholib (sepupu baginda Rasullulah) radiyallahanhu menari kegirangan selepas Rasululah memujinya. Kelazatan kemanisan pujian Rasulullah itu dizahirkan dihadapan rasulullah. Disini dinaqal kalam Syaikh Zaini Dahlan (bekas mufti Syafieyah di Makkah) radiyallahanhu ketika menghasyiahkan kitab “sirah halabiah” yang meriwayat kisah saidina jaafar bin abi tholib.

: (وبعد فتح خيبر قدم من الحبشة جعفر بن أبي طالب رضي الله عنه ومن معه من المسلمين وهم ستة عشر رجلاً فتلقى النبي صلى الله عليه وسلم جعفر وقبل جبهته وعانقه وقام له - وقد قام لصفوان بن أمية لما قدم عليه، ولعدي بن حاتم رضي الله عنهما - ثم قال صلى الله عليه وسلم: "ما أدري بأيهما أفرح بفتح خيبر أم بقدوم جعفر ؟" وقال صلى الله عليه وسلم لجعفر: "أشبهت خلْقي وخلُقي"، فرقص رضي الله عنه من لذة هذا الخطاب، فلم ينكر عليه صلى الله عليه وسلم رقصه، وجعل ذلك أصلاً لرقص الصوفية عندما يجدون من لذة المواجيد في مجالس الذكر والسماع)
السيرة النبوية والآثار المحمدية" لزيني دحلان، على هامش السيرة الحلبية ج ٢/ص ٢٥٢ . والحديث رواه البخاري في صحيحه في كتاب الصلح 

Adakalanya anak-anak murid sebenarnya tidak merasai apa-apa kenikmatan dari zikir, tetapi mereka “buat-buat” merasainya. Ini tidaklah juga dianggap menyalahi syara’ kerana Rasulullah sendiri menyuruh kita menangis apabila membaca al-Quran. Tangisan itu terbit dari hati yang menjiwai dan mendalami makna yang disampaikan dalam Quran. Tetapi bagi mereka yang tidak sampai kepada tahap menjiwai makna Quran itu, rasulullah mendorong kita agar “buat-buat” nangis. Kerana dengan itu mungkin kita dapat merasa secebis perasaan yang lahir daripada mereka yang benar-benar menangis kerana membaca al-Quran. Didalam istilah tasawuf, perbuatan ini dinamakan tawaajud. (التواجد). Tawaajud ialah mendatangkan rasa al-wajd dan menzahirkannya tanpa ada baginya rasa al-wajd yang sebenar. Ini diperbolehkan JIKA betul niat pelakunya. Kerana itu biarpun sepatutnya pergerakan itu sebenarnya lahir dari zikir , tetapi dalam majlis hadrah, zikir dan pergerakan itu berlangsung sekali supaya meransang al-wajd itu untuk hadir. 

Perlu dinyatakan bahawa BUKANLAH yang dikehendaki dalam dalil-dalil yang didatangkan itu bahawa boleh berzikir dalam keadaaan menari dengan tarian yang kita lihat di mesir ini. Dalil yang didatangkan adalah untuk menjelaskan keharusan bergerak ketika berzikir. Sementara tarian dengan langkah dan pusingan yang tertentu sambil berzikir itu diharamkan oleh ulama’ . Jika ada ulama yang mengitlaqkan keharusan berzikir dalam keadaan menari berdasarkan dalil itu, maka perlu difahami apa yang dimaksudkan dengan tarian itu bukan dengan tarian yang kita fahami tetapi semata-mata gerakan badan sahaja. (sebab itu penting sanad lafaz dan sanad pemahaman dalam membaca kitab ulama’) Memang ada majlis zikir di mesir yang menari-nari seperti di Masjid Saidatina Zainab, namun apa yang saya naqalkan daripada pendapat ulama sufiah disini bukan untuk membenarkan perlakuan mereka. 

Oleh itu apabila Syaikh Zaini dahlan dalam menghasyiah kan kisah Saidina Jaafar radiyallahanhu pada dalil diatas mengatakan bahawa dalil itu dijadikan asas kepada “tarian sufiah”, maka kita perlu teliti perkataannya dengan tidak meninggalkan qaid yang dinyatakan oleh syaikh Zaini dahlan bahawa keharusan itu jika tarian sufiah itu lahir ketika mana mereka merasa kelazatan al-wajd. Saya bertanyakan kepada syaikh yusuf al-bakhour mengenai “tarian sufiah” yang dimaksudkan oleh syaikh zaini, dan beliau menjawab bahawa makna “tarian sufiah” itu bukan tarian yang kita fahami tetapi sekadar gerakan badan yang lahir dari at-tawaajud. 
Oleh itu kita fahami, syaikh zaini dahlan tidak mengatakan “tarian sufiah” itu berupa tarian yang kita lihat dan fahami tetapi semata-mata pergerakan badan yang lahir dari zikir dan bukannya dengan pergerakan yang dikoordinasikan khas (yang dinamakan tarian) untuk berzikir itu yang melahirkan al-wajd. Adapun pergerakan dan zikir yang berjalan serentak pada awal majlis hadrah tidak boleh dianggap tarian kerana pergerakan itu hanya semata menggerak-gerak badan dan tangan. Malah kisah Saidina Jaafar ini adalah dalil kepada harus menzahirkan al-wajd dalam bentuk pergerakan, sementara dalil yang memboleh gerakan dalam zikir dan meneruskan zikir dalam keadaan tubuh bergerak-gerak adalah daripada dari dua dalil yang pertama. 

Imam al-Alusi mentafsirkan ayat 191 surah al imran didalam tafsirnya “ruh al-maani” mendatang riwayat mengenai sahabat Rasulullah diantara mereka ialah Saidina Abdullah Ibn Umar radiyallahanhuma yang bangun untuk berzikir dalam keadaan berdiri kerana al-Quran menyatakan sifat orang ulil albab dalam ayat sebelumnya bahawa mereka itu berzikir dalam keadaan duduk dan berdiri. Maka para sahabat berzikir secara berdiri kerana bertabarruk (mengambil barakah) dengan apa yang dinyatakan dalam al-Quran. Kita telah sedia maklum Saidina Ibn umar adalah antara sahabat yang paling kuat mengikut sunnah baginda. Sehinggakan beliau akan berjalan mengikut bekas-bekas tapak kaki nabi berjalan, mahu bersolat dalam kaabah di tempat yang nabi pernah bersolat.

وقال العلامة الألوسي في تفسيره عند قوله تعالى(: الذين يذكرونَ اللهَ قِياماً وُقعوداً ........)
 وعليه فيحمل ما حكي عن ابن عمر رضي الله عنهما وعروة بن الزبير وجماعة رضي الله عنهم من أنهم خرجوا يوم العيد إلى المصلى، فجعلوا يذكرون الله تعالى، فقال بعضهم: أماقال الله تعالى: يذكرون الله قياماً وقعوداً ؟ فقاموا يذكرون الله تعالى على أقدامهم، على أنّ مرادهم بذلك التبرك بنوع موافقة للآية في ضمن فرد من أفراد مدلولها [

Namun begitu, tidak dinafikan dalam majlis hadrah zikir ada diantara yang hadir itu bukannya ingin berzikir, tetapi hanya ingin merosak dan mencemarkan majlis zikir yang malaikat menaunginya. Mereka membuat-membuat gerakan yang memperlihatkan majlis zikir yang mulia itu amat hodoh. Lalu perbuatan mereka ini menjadi hujah bagi sebahagian yang baru hendak menjinakkan diri dengan majlis zikir mahupun mereka yang memang mencari sebab untuk menyerang tasawuf bahawa majlis zikir para sufiah itu dipenuhi dengan perbuatan mungkar dan bidaah. Sedangkan para ulama sufiah tidak menganjurkan demikian malah mereka berlepas tangan dengan golongan ini kerana majlis hadrah adalah majlis yang terbuka. Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan menghalangnya berdasarkan niatnya untuk merosakan majlis hadrah. Barangkali juga mereka terlalu asyik sehingga tidak menyedari apa yang mereka lakukan.
 Seperti orang yang asyik menyanyi dalam konsert-konsert. Kadangkala kita pelik dengan gelagat penonton dan penyanyi. Ada terkinja-kinja, melompat-lompat, yang pecah gitar pun ada. Tanya mereka yang asyik bila menyanyi, memang tak sedar diri dah. Suara pitch tinggi sampai satu kaherah dengar pun mereka tak peduli. Ketika itu yang mereka rasai hanya kelazatan melalak ( baca: nyanyi sampai tak ingat diri).

Oleh itu sebahagian ulama’ mengingatkan agar berhati-hati dengan golongan yang mencemarkan majlis hadrah. Jika di Masjid Adaliah,Halab, utara Syiria. Markaz Tarikat Syaziliah Darqawiyah. Majlis hadrah dibuat dalam keadaan tertutup, selepas solat Isya’ supaya majlis tidak dirosakkan dengan perbuatan mereka yang sengaja memperlihatkan majlis hadrah ini dipenuhi dengan perbuatan bidaah. Malah mereka memastikan mereka yang hadir itu mempelajari syariat dengan baik agar memahami apa matlamat sebenar menghadiri majlis hadrah. 

Perlu dipisahkan dengan garisan yang jelas bahawa pergerakan dalam zikir tidak diamalkan oleh para saadah sufiah sebagai budaya warisan tarikat. Malah pergerakan dalam zikir itu BUKAN syarat zikir, mahupun syarat sah zikir. Tetapi pergerakan ketika berzikir (seperti bertahlil dan menghafaz Quran) itu hanya diharuskan ( ada ulama yang mengatakan sunnat). 

Perlu diingat bahawa apa yang dinyatakan disini adalah berkaitan pergerakan dalam zikir dalam majlis hadrah yang selari dengan kehendak syara’. Iaitu majlis yang tidak bercampur lelaki perempuan, yang tidak dialunkan dengan alat muzik yang diharamkan, yang menutup aurat, berzikir dengan zikir-zikir yang disyara’kan. Bagi majlis-majlis yang tidak selari dengan syara’, bukan pergerakan zikir itu yang haram tetapi majlis itu sendiri adalah haram.

Bagi mereka (golongan neosalafi atau bukan ) yang tidak dapat menerima hujah dan apa yang diamalkan oleh para saadah sufiah dalam majlis zikir. Maka jangan sesekali mudah membidaahkan mereka. Itu jalan mereka dan mereka mempunyai dalil dalam melakukannya. 
Jika kita rasa ragu-ragu, tanya kepada ulama’ sebelum menghukum. Dan jika masih ragu-ragu dengan hujah dan dalil mereka. Tinggalkan majlis itu dan cari majlis zikir yang “pure” sunnah. Jika tiada yang lagi majlis zikir yang dikira betul-betul mengikut sunnah, duduk dirumah baca Quran. 
Jalan-jalan menuju keredhaan Allah ini banyak. Para sufiah memilih jalan dengan memperbanyakkan zikir kerana jalan itu boleh dilalui oleh semua orang. Tidak kira dia miskin, kaya, alim atau tidak. Jalannya mudah. Jika kita hendak memilih jalan menuntut ilmu untuk menuju keredhaan Allah, silakan. Jika kita hendak memilih jalan jihad untuk menuju keredhaan Allah, silakan. Jika kita hendak memilih jalan dakwah, seperti sahabat-sahabat kita dalam jemaah tabligh, silakan. Jika kita hendak memilih jalan bersedekah, seperti orang-orang yang berharta, silakan. Jika kita hendak memilih jalan menghafaz Quran dan memeliharanya, silakan. Allah tidak menyempitkan jalan untuk menuju kepadaNya. Wallahu’alam.

Abu Abbas lutfi
Manyal,kaherah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home