Sunday, March 29, 2009

Secularisme bapak kepada kesesatan

Buat pertama kalinya, di blog ini saya berbicara tentang siasah kerana agama itu tidak lengkap dengan siasah. Makna mudah bagi siasah ini ialah suatu sistem untuk mentadbir manusia. Sekiranya kita beriktiqad bahawa Allah itu adalah pencipta dan manusia adalah makhluk, maka mustahil Allah menciptakan manusia tanpa panduan bagaimana mentadbir mereka ini. Seperti ibarat mudah oleh Mursyidul Am Pas, setiap barang yang direka oleh manusia pasti adalah manual guidenya. Maka mustahil bagi Allah yang bersifat dengan kesempurnaan untuk membiarkan manusia ini diciptak tanpa ada panduan untuk menguruskannya, Panduan dalam menguruskan manusia secara kolektif inilah yang dikatakan siasah.

Kebejatan masalah yang menimpa manusia disebabkan oleh sistem siasah yang tidak adil memaksa manusia menerima pelbagai-pelbagai isme dalam sejarah kehidupan mereka. Dahulu saya selalu tertanya-tanya mengapa manusia boleh menerima sistem komunis sebagai dasar kerajaan sesebuah negara sedangkan komunisme adalah suatu sistem yang dasarnya ialah atheis iaitu menafikan kewujudan tuhan yang bertentangan dengan akal yang waras. Keekstriman idea ini diolah agar masih dapat diserap dalam masyarakat beragama dengan memodifikasikan isme itu kepada isme-isme yang lain seperti socialisme, pragmatisme, kapitalisime yang jika ditinjau dari semua sudut adalah diasaskan kepada satu perkara pokok iaitu memisahkan agama daripada kehidupan ataupun dikenali dengan secular.

Secular adalah bapak kepada segala kemunculan isme-isme rekaan manusia. Memisahkan agama daripada kehidupan membolehkan kita menerima isme-isme lain dalam mentadbir hal ehwal manusia. Jika kita tidak memisahkan agama daripada kehidupan maka isme-isme lain tidak mendapat tempat dalam kerangka otak kita dalam mentadbir manusia kerana Islam telah menyusun tatacara bagaimana menguruskan manusia.

Seorang yang secular akan memperjuangkan keadilan kerana baginya keadilan itu bukan agama. Seorang yang secular akan memikirkan cara memperkukuhkan ekonomi kerana baginya ekonomi itu bukan agama. Seorang yang secular akan
Memperjuangkan hak kebebasannya sebagai insan kerana baginya hak kebebasan itu bukan agama. Seorang yang secular akan berjuang mendapatkan kekuasaan kerana baginya pemerintahan itu bukan agama. Agama ini tiada tempat, tiada nilai, tidak mampu mentadbir manusia kerana agama ini hanya spiritual, rohani, dan hanya berperanan di dalam hati. Untuk menenangkan fikiran. Mendapat keyakinan. Menguatkan semangat. Pendek kata agama hanya perkara berkaitan spiritual semata-mata dan tidak dibenar berperanan dalam gerak kerja. Oleh itu barat mereka satu istilah Islamism untuk merujuk kepada mereka yang menterjemahkan agama kepada gerak kerja samada bersifat politik, pendidikan, atau ekonomi. Barat tidak dapat menerima Islam sebagai satu ideology politik oleh itu mereka memisahkannya dan menamakan mereka yang mempunyai ideology politik islam itu sebagai Islamism.

Pemisahan juzuk cara hidup samaada politik,ekonomi atau pendidikan daripada agama inilah yang dinamakan secular. Apabila seorang individu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mahu berjual beli dengan cara Islam maka individu itu secular. Jika satu keluarga mengaku beragama Islam tetapi menolak hukum-hukum kekeluargaan Islam maka keluarga itu secular. Jika satu persatuan mengaku Islam tetapi tidak mahu mentadbir persatuan dengan cara Islam maka persatuan itu secular. Jika sebuah kerajaan yang mengaku Islam tetapi menolak sistem pentadbiran dan undang-undang Islam maka kerajaan itu secular. Islam itu dikongkong dalam diri. Tidak dibenar berfungsi dalam kehidupan.

Status keislaman bagi seseorang atau keluarga atau persatuan atau kerajaan bergantung kepada sebab keengganannya tidak mahu membiarkan Islam didalam dirinya itu dibiarkan berfungsi. Jika kerana tewas dengan nafsu maka dia zalim, jika dia sengaja maka dia fasiq, jika dia tidak mempercayainya maka dia kufur. Sifir ini mudah dan dijelaskan dalam ayat Al-Quran dengan mengkategorikan manusia kepada zalim, fasiq, kafir jika tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan. Hukum itu bukan sahaja hukum hudud. Hukum itu umum merangkumi semua hukum yang bersangkut paut dengan kehidupan.

Cabaran besar kepada umat Islam ialah menterjemahkan Islam dalam bentuk realiti kehidupan. Islam telah diterima oleh dunia sebagai agama yang sama status dengan kristian,yahudi, budha, hindu dan etc. Tetapi Islam tidak dapat diterima lagi sebagai manual guide manusia sejagat. Bukan setakat Manual guide untuk mentadbir umat Islam sahaja tetapi untuk mentadbir manusia. Oleh sebab itu apabila sesuatu idea yang anonymous dibawa untuk dipraktikkan dalam sesuatu sistem, idea itu akan diterima untuk dibahas dan dibincangkan. Tetapi jika idea itu dilabelkan dengan idea Islam seperti perundangan Islam, pintu untuk perbahasan dan perbincangan ditutup serapat-rapatnya. Puncanya kerana manusia sejagat tidak dapat menerima Islam sebagai cara hidup tetapi hanya sebagai agama.

Ini suatu cabaran yang besar bagi ulama’, pendakwah, pemerintah dan umat Islam secara umum. Meruntuhkan tembok maya tidak semudah meruntuhkan tembok Berlin kerana tembok Berlin itu simbolik kepada pemisahan idealisme semata-mata. Tembok maya yang memisahkan agama dan politik adalah tembok dalam fikiran manusia. Tembok yang bergerak dari rumah,kampung,masjid,universiti,parlimen hinggalah ke gaza. Tembok ini yang menyebabkan negara haram (haram nie kena sebut) yahudi Israel masih kukuh ditengah-tengah dunia arab. Untuk meruntuhkan negara haram ini, umat Islam kena meruntuhkan tembok maya dalam kepala pemimpin-pemimpin negara Islam dan arab khususnya. Mereka perlu diheret untuk menerima bahawa serangan Hamas keatas negara haram Israel adalah serangan yang dimanifestasikan daripada kekuatan Iman bukan kerana politik.

Amat pelik apabila PBB menilai isu pencerobohan palestin menggunakan dua kacamata. Apabila menghukum Hamas, mereka memakai kacamata menceroboh kedaulatan sebuah negara dan apabila menghukum Israel mereka memakai kacamata mempertahankan kedaulatan. Puncanya kerana mereka secular. Tiada istilah peperangan kerana agama dalam kamus hidup mereka. Peperangan hanya untuk perebutan kuasa politik, Jika ini neracanya, maka yang bersalah adalah Hamas kerana Israel adalah sebuah negara yang diiktiraf oleh PBB dan tindakan ketenteraan mereka adalah sah dari segi politik secular. Biarpun satu dunia tahu bahawa serangan Israel adalah serangan agama yang menerapkan nilai kebencian terhadap Islam namun itu tidak boleh menjadi alibi dalam memutuskan resolusi PBB kerana agama tiada tempat dalam PBB. PBB tidak menganggap Israel sebagai sebuah negara yahudi tetapi sebagai sebuah negara yang sama status seperti negara-negara yang lain.

Di waktu umat Islam Palestin sedang dikepung oleh Israel sekarang ini, saya mengenakan kisah seorang ulama besar Islam iaitu Imam Nawawi. Beliau hidup diwaktu tentera Tartar sedang membantai umat Islam di Baghdad. Kesedihan terhadap pembantaian itu memanifestasikan suatu tekad dan cita-cita untuk mempertahankan Islam. Keringat seorang insan mungkin tidak mampu menahan kekuatan tentera Tartar yang terkenal dengan ganas dan kuat, namun kekuatan aqal dan minda Imam nawawi telah berjaya mengekang kemaraan musuh Islam sejak zaman pencerobohan tentera Islam hinggalah hari ini.

Jika tidak kerana jihad penanya yang menghasilkan kitab-kitab berharga untuk tatapan umat Islam, nescaya umat Islam lebih mudah tewas ditangan musuh tanpa senjata. Kekuatan umat Islam di Palestin bukan pada senjata tetapi pada keyakinan,iktiqad, keazaman, kemegahan,kemulian bahawa Islam tidak akan kalah kerana itu janji Allah. Diatas keazaman itu jugalah Salehuddin al-Ayubi menakluk semula Palestin dari tangan tentera Salib.

Selain sumbangan material yang bersifat sementara, marilah kita mencontohi Imam Nawawi yang menggunakan kekuatan aqal dan mindanya untuk mempertahankan Islam ini dengan kita menambah ilmu pengetahuan untuk menjadi senjata dalam meruntuhkan fahaman secular dalam masyarakat Islam. Ilmu pengetahuan yang akan lahir daripadanya iktiqad yang jazam bahawa Islam ini perlu berperanan sebagai ruh dan jasad merupakan senjata maknawi dalam mempertahankan Islam.

Seringkali Tok Guru Nik Aziz mempelawa sesiapa sahaja yang tidak mahu menerima idea Islam sebagai kehidupan tampil untuk menunjukkan kekurangan dan kelemahan Islam namun cabarannya tidak pernah disahut oleh sesiapa pun termasuklah Karpal Singh peguam yang terkenal dengan putar belitnya. Kerana sebenarnya Islam itu tiada kekurangan atau aibnya untuk dimanipulasikan menjadi hujah untuk menolak apa jua idea yang bersifat Islam.

Di Malaysia, PAS telah menerajui organisasi Islam di Malaysia dalam meruntuhkan tembok fahaman yang tidak boleh menerima Islam sebagai kehidupan. Penglibatan mereka dalam politik membuktikan konsep pemerintahan berlabelkan Islam itu boleh digunapakai dan diterima oleh semua agama dan bangsa. Biarpun perjalanan untuk melaksanakan undang-undang Islam secara total itu agak jauh namun PAS berjaya menghalau hantu-hantu rekaan UMNO yang menakutkan non-muslim bahawa PAS adalah extrimis agama.

Di saat ini, masyarakat Malaysia telah muak dan jelek dengan sandiwara UMNO. Mereka menanti-nanti wadah pentadbiran negara yang lebih kukuh untuk menggantikan sistem UMNO. Oleh itu kita perlu merebut peluang ini untuk memberi penjelasan melalui ilmu pengetahuan yang benar bahawa Islam adalah wadah terbaik untuk pentadbiran negara.

Pilihanraya Bukit Gantang adalah medan pertembungan kepercayaan masyarakat Malaysia terhadap suatu sistem yang korup dan sistem yang adil. Medan yang menjadi neraca kepada penerimaan Islam sebagai manual guide manusia sejagat. Marilah sama-sama kita melakukan apa termampu untuk memenangkan PAS di bukit gantang. Allahu Akbar!

Abu Abbas Lutfi
Manyal,Kaherah.

1 Comments:

At Tuesday, March 31, 2009, Anonymous alqasam said...

Tulisan yang baik Sidi Hidir.

Ana mengambil sikap tawaquf sekarang.

 

Post a Comment

<< Home