Thursday, December 18, 2008

Bukan kerana kepakaran tetapi kos perubatan...

Apabila saya terbaca di Utusan Malaysia bahawa Malaysia menghantar pesakit-pesakit jantung yang memerlukan pembedahan ke sebuah hospital swasta Narayana Hrudayalaya di Bangalore kerana kos pembedahan disana jauh lebih murah. Saya amat tertarik untuk mengetahui pencapaian hospital ini. Fakta dalam wikipedia menjelaskan hospital ini menjalankan 24 open cardiac surgery (OCS) sehari!. Dan jumlah ini adalah 8x lebih tinggi dari purata bilangan OCS di hospital-hospital India yang lain.

Pada banner website terpampang :

“Less than 8 % of the worlds population can afford a heart surgery. You can change this. Donate now”

Dengan perkembangan ilmu perubatan yang sangat hebat, saya amat terkejut apabila statistic bannernya bahawa cuma 8 peratus pesakit jantung di dunia yang mampu menanggung kos perubatannya. Oleh itu halangan besar terhadap rawatan pada zaman yang serba moden ini bukannya kepakaran dan kemudahan tetapi kos perubatan.

Jika kos perubatan pesakit jantung begitu tinggi mengapa hospital tersebut mampu melakukan sehingga 24 OCS sehari. Adakah pakar-pakar mereka mendapat gaji yang rendah? Atau kemudahan mereka ketinggalan? Atau perkhidmatan yang ditawarkan bersifat low class? Atau ratio kejayaan pembedahannya rendah? Atau kerana hospitalnya di Bangalore? Atau blah..blah.

Di mesir juga kos perubatan dan pembedahan adalah jauh lebih murah dari Malaysia. Jadi kita tertanya siapa sebenarnya di belakang kos perubatan yang tinggi ini? Kos skill (doctor) atau kos prosedur pembedahan atau kos ubat-ubatan atau kos kemudahan atau kos organ atau kos hospital secara umum. Jika dikatakan kos pembedahan di Bangalore separuh dari kos di Malaysia, ini bererti semua kos diatas menjadi separuh atau ada kos-kos tertentu yang dimurahkan di hospital ini.

Saya tidak fikir pakar-pakar jantung di hospital itu dibayar dengan harga yang rendah kerana berdasarkan profile mereka, mereka adalah manusia-manusia yang bernilai beratus ribu ringgit dengan sebab skill yang ada pada mereka. Maka pastinya kos-kos lain yang dikurangkan atau sebenarnya tiada pengurangan terhadap kos tetapi hanya semata-mata pengurangan terhadap KEUNTUNGAN!!!!!.

Siapa di dunia ini yang berniaga tidak mahu untung? Rasulullah juga berniaga dan mengaut keuntungan berdasarkan sirah yang kita pelajari. Mengambil keuntungan tidak sedikit pun menjejaskan iman dan reputasi sesiapa pun. Tetapi mengambil keuntungan yang BERLEBIHAN yang membezakan seorang peniaga yang beriman dengan peniaga yang tamak haloba.

Apabila kos perubatan meningkat, pastinya ada yang mengambil keuntungan berlebihan. Biarpun tuduhan ini bersifat sembrono, tetapi tiada siapa yang berani menafikan yang doktor lah yang menjadi kos perubatan mahal. Seseorang doktor menjadi mahal apabila reputasi dan experienced skills nya tinggi. Apatah lagi jika di Malaysia bilangan doktor pakar tidak ramai. Apabila kos skil seorang doktor mahal maka pemilik hospital terpaksa menaikan kos perubatan selari dengan kos doktor kerana mereka itu peniaga (yang kebanyakannya doktor jugak).

Pusing punya pusing, kos yang tinggi ini akan kembali ke muka doktor dan doktor adalah elemen yang paling berkuasa meninggi atau menurun kan kos perubatan. Jika doktor tidak tamak haloba dan ada sifat qanaah dalam hidup, pastinya peratusan mereka yang mampu mendapatkan rawatan akan bertambah lebih 8 peratus dalam kes-kes kardiak.

Mahukah seorang doktor mendapat gaji RM100K untuk mengurangkan gajinya sebanyak 25-50 peratus dan melakukan pengorbanan demi manusia sejagat? Hanya kekuatan iman dan agama yang dapat mengubah dunia ini. Selagi mana manusia diprodukkan menjadi manusia-manusia istimewa tanpa nilai-nilai islam seperti qanaah, maka selagi itu dunia tidak berubah. Yang kaya terus hidup senang lenang, yang miskin akan terus hidup menagih simpati. Bukan kerana tidak mahu sembuh, tetapi untuk mendapat penyembuhan itu lebih perit dari penderitaan. Kesakitan hanya pesakit yang rasai, tetapi penderitaan hidup kerana menanggung kos perubatan ditanggung oleh semua keluarga pesakit.

Saya rasa umat Islam patut malu jika sebuah hospital di India yang majoriti kakitangannya adalah hindu dan kristian mampu mengurangkan kos perubatan sehingga separuh, tetapi umat Islam tidak boleh berbangga dengan pencapaiaan sedemikian. Mungkin hospital itu dibiayai oleh dana yang besar daripada Asian Heart Foudation dan bapa mertua pengasas hospital itu sendiri , namun itu bukan persoalan. Jika mereka mampu menyediakan dana yang besar untuk kepentingan manusia sejagat, mengapa ummat Islam tidak boleh sedangkan rezeki ummat Islam melimpah ruah diatas muka bumi ini.

Dalam siri House, Dr house mempertahankan tindakannya mengecilkan tumour dengan berkata:

“I know (the reason that we have these guidelines is ) to save lives, specifically doctor’s lives, and not just their lives but their lifestyles”

Tapi dalam konteks kos perubatan yang tinggi, bukan surgical guidelines sahaja yang menyelamatkan lifestyle doktor tetapi perubatan itu sendiri bukan lagi untuk menyelamatkan nyawa tetapi ‘menyelamatkan’ lifestyle doktor. Semoga Allah memberi hidayah dan taufik kepada kita semua agar tidak jadi manusia-manusia istimewa yang tamak haloba dengan lifestyles yang melampau.

Di Mesir, hospital-hospital kebajikan amatlah banyak dan kebanyakannya dibina berhampiran masjid. Meskipun reputasi hospital-hospital ini tidak sebaik hospital swasta yang lain tetapi kemampuan menawarkan perkhidmatan yang murah kepada masyarakat amatlah disanjungi. Bahkan kebanyakan mereka juga adalah pakar-pakar di hospital-hospital universiti dan swasta yang lain. Tetapi mereka melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai manusia istimewa bergelar doktor untuk turun memberikan khidmat dengan kos yang murah.

Situasi di Malaysia mungkin boleh berubah 10-15 tahun lagi. Dengan lambakan pelajar perubatan di Mesir, semoga bakal-bakal doktor yang akan pulang ke tanah air dan menjadi pakar-pakar dalam pelbagai bidang dapat menubuhkan pusat kesihatan seperti Narayana Hrudayalaya Malaysia suatu hari nanti.Hospital yang berjenama Islam sahaja tidak memadai jika hanya orang berada sahaja yang dapat menikmatinya. Itu mengeksploitasikan agama untuk kepentingan dunia namanya. Tapi baik ada dari takde kan…

Abu Abbas Lutfi
Manyal,Kaherah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home