Saturday, May 05, 2007

Lafaz dan pemahaman nas agama

Telah warid dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa Nabi Muhammad Sollawatullahi Alahi telah bersabda bahawa :

خيركم قرني ثمّ الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Imam ahmad as-Sowi dalam syarah Matan Jauharah Tauhid nya mengatakan bahawa kurun yang terbaik seperti dalam hadith itu ialah 220 tahun. Iaitu kurun sahabat 120 tahun ( kiraan bermula selepas perutusan),kurun tabieen pula 70 tahun dan kurun tabie tabieen pula ialah 30 tahun. Maka tempoh itu 220 tahun.

Dalam nota kaki syarah matan Jauharah Tauhid diatas yang ditahkik oleh Syaikh Dr Abdul Fattah al-Bazam (mudir Maahad al-Fateh di Damsyik dan mufti mazhab Hanafi di Syiria sekarang) bahawa ulama mempunyai banyak tafsiran dan pemahaman mengenai perkataan ‘kurun’ itu sendiri. Beliau menaqal pendapat itu dari syarah jauharah yang lain iaitu “Ithaf Murid” yang disyarah oleh Syaikh Adib al-kailani ad-dimashqi.

Ummat yang datang selepas ummat yang terdahulu disebut sebagai القرن . Ada ulama mengatakan tempoh kurun itu 10 tahun, dan ada pula mengatakan 20 tahun dan ada pula mengatakan 100 tahun.

Imam Nawawi dalam syarah muslim pula menjelaskan bahawa ulama tidak sepakat dalam menentukan makna kurun itu. Al-Mughirah mengatakan bahawa kurun itu ialah sahabat nabi, dan kurun yang seterusnya ialah anak-anak sahabat nabi, dan kurun seterusnya pula ialah cucu-cucu sahabat nabi. Ada pula mengatakan bahawa kurun itu ialah mereka yang melihat baginda kemudian kurun mereka yang dapat melihat orang yang melihat Nabi dan seterusnya. Ada pula mengatakan kurun yang dimaksudkan itu ialah sahabat, kemudian tabiien dan kemudian tabie tabieen.

Didalam Hasyiah matan Jauharah Tauhid (Tuhfahtul al-Murid) karangan Imam Allamah Ibrahim al-Baijuri beliau menyatakan bahawa kurun yang terbaik seperti dalam hadith itu adalah tempoh 300 tahun dan dikatakan juga tempohnya adalah 500 tahun.

Tempoh 300 tahun itu adalah masyhur dan sering kita dengar. berdasarkan makna bahasa bahawa kurun itu ialah 100 tahun. Maka jika Nabi menyebut kurunku, selepas mereka dan selepas mereka bererti kelompok manusia yang terbaik itu ialah 300 tahun.

Al-hasil, apa faedah dinyatakan semua pendapat-pendapat ini disini? Hadith ini adalah hanya satu misal daripada hadith yang dikategorikan oleh ulama sebagai hadith yang shohih. Dalam turath rujukan ummat ini ada beribu-ribu lagi hadith yang shohih. Selain hadith shohih, umat Islam ada sebuah lagi rujukan muktamad iaitu Quran yang tidak dipertikaikan status keshohihannya sebagai wahyu Ilahi.

Maka disini kita lihat bahawa ulama islam samaada salaf ataupun khalaf tidak pernah khilaf mengenai lafaz nas. Lafaz nas yang dimaksudkan samaada lafaz nas quran ataupun hadith. Jika ada perbezaan pun, khilaf itu masih tidak mencacatkan statement yang mengatakan ”Ulama Islam salaf dan khalaf tidak khilaf pada lafaz nas”

Oleh itu dimana khilaf nya? Dimana perbezaan yang mewujudkan madrasah pengajian feqh itu kepada syafieeyah, hanafiah , etc.yang mewujudkan madrasah tasawwuf itu kepada syaziliah,qadiriah,naqsyabandiah, etc.. yang mewujudkan madarasah tauhid itu kepada madrasah salaf dan khalaf (tolak tepi lah syiah..kita cite ttg sunni dulu). Yang mewujudkan madrasah gerakan Islam kepada Ikhwan (asia barat), tabligh (india), an-nur (turkey) etc.

Tiada satu pun golongan yang disebutkan secara umum diatas mengingkari rujukan mereka adalah Quran dan Sunnah. Mereka ittifaq..mereka sepakat...mereka bersama dalam perkara dasar bahawa Allah itu Esa, Rasulullah itu NabiNya, Syariat Islam itu rujukannya Quran,Sunnah,Qias dan Ijma’, berakhlak mulia itu wajib. Syurga,pahala, dosa neraka itu ada.

Khilaf itu berpunca bukan dari lafaz nas, tetapi PEMAHAMAN NAS. dan Daripada kefahamanlah terhasilnya gerak kerja dan amal. Bukan dengan HAFAZAN nas yang menghasilkan gerak kerja.

Oleh itu apabila dalam mewarisi ayat quran,hadith dan ilmu agama, semuanya itu perlu disanadkan atau disandarkan kepada ulama terdahulu 2 perkara utama:

Pertama : lafaz nas

Kedua: pemahaman nas

Dizaman kita sekarang al-Quran dan kitab-kitab hadith Rasulullah boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai buku. Malah sanad-sanad al-Quran dan hadith masih terpelihara dan diijazahkan kepada mereka yang layak. Namun sanad –sanad itu hanya mewarisi satu bahagian daripada sanad itu sanad lafaz nas sedangkan sanad pemahaman nas selalu diabaikan.

Natijahnya, meraban lah kita dalam memahami Islam dengan cara yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Kita keliru. Kita terkapai-kapai. Diwaktu orang telah menunaikan solat dengan khusyuk. Kita terpinga-pinga bagaimana hendak meletakan tangan ketika solat. (Ini baru satu misal yang mudah) Diwaktu orang telah mencapai tauhid zauqi bahwa Allah itu Maha Pemurah kita terpinga-pinga untuk mengetahui betapa pemurahnya Allah.. Di waktu orang telah mencapai tahap Ihsan ’iaitu melihat Allah atau merasa dilihat oleh Allah’ kita masih meraban tertanya-tanya bagaimana hendak melihat Allah.

Puncanya kita beramal atau tidak menyandarkan pemahaman terhadap lafaz nas kepada pemahaman nas ulama-ulama yang datang sebelum kita. Kita angkuh dengan secebis ilmu yang tak kemana. Kita tidak mahu mencerca diri dengan berkata aku masih jahil dan berkehendakkan kepada orang bagi memahamkan aku agama ini. Yang lebih mengharukan ada dengan berani mengatakan bahawa “saya memahami hadith ini begini…begini…begini….” .” berdasarkan kaedah begini…begini…”

Usaha yang sepatutnya dicurah dalam mentahkik kan makna pemahaman nas untuk diterjemahkan dalam bentuk amal kehidupan seharian terbantut dengan digunakan pula untuk memahami nas. Untuk memahami nas, seseorang memerlukan ilmu alat yang cukup membolehkan dia berinteraksi dengan nas dengan kaedah yang betul. Maka usaha yang patut digunakan untuk mengamalkan nas dipertaruhkan untuk mempelajari ilmu alat. Nahu, saraf, adab, usul feqh, usul hadith, usul tafsir, asbab wurud,asbab nuzul dan etc.

Ibarat seorang yang dihidangkan makanan di sebuah restoran, dihadapannya telah terhidang makanan namun dia enggan makan biarpun dimasak oleh chef yang terkenal. Dia tetap ingin memasak bahan-bahan mentah itu sendiri agar ‘keaslian’ makanan itu dapat dinikmati. Pastinya sebelum memasak dia perlu membeli bahan mentah, membersihkannya, barulah boleh dimasak. Jika ikan yang hendak dia makan, semua jenis ilmu yang diperlukan untuk membeli ikan (jenis ikan,baru atau lama,laut atau sungai), menyiang, membersih, memasak perlu dipelajarinya. Itu baru ikan…kalau hendak dalam satu makanan semua ada eg: tomyam. Ilmu sayur kena ada..ilmu seafood kena ada..ilmu daging kena ada. Dah reti memasak kena pulak ada dapur, gas, periuk belanga plak. Begitulah halnya, kerana inginkan ‘keaslian’ makanan, perut tetap lapar.

Ada seorang lagi pula lebih baik dari yang dinyatakan diatas. Dia hanya mahu makan selepas mempersoalkan soalan yang terperinci bagaimana juadah makanan dihadapannya tersedia semata-mata kerana ingin memastikan bahawa dia makan makanan yang paling berkhasiat. Sedang orang lain telah kenyang (beramal dengan makan), mereka baru menikmati makanan. Belum sempat kenyang, orang menyapa.. “Encik, restoran telah tutup” . Baru menyesal… kenapalah aku tak makan aja tadi.

Berbalik pada pemahaman ‘kurun’ tadi… apa ‘masakan’ yang terhidangnya?

Yang dinyatakan diatas itu semuanya betul,kerana semuanya dinaqal daripada pemahaman-pemahaman ulama yang muktabar. Cuma kita perlu bertanya diri sendiri bahawa pemahaman kita bersanadkan kepada pemahaman siapa. Jika saya, saya bersanadkan pemahaman yang mengatakan bahawa kurun pertama itu generasi sahabat,kemudian tabieen, kemudian tabie tabieen. Bukan saya memilih tetapi itu yang di’recomment’ kan kepada saya. Mungkin kaedah yang saya guna ini dikatakan taqlid buta kata orang-orang sekarang. Kerana mereka melihat taqlid dengan makna negatif sedang saya melihat taqlid dengan makna positif.

Oleh itu jika ada yang bersandarkan pemahaman kurun itu ialah tahun 30,60,300 atau 500 sebagai contoh, itu tidak mengapa asalkan sandaran atau sanad pemahaman itu ada.

Itu satu misal daripada beribu-ribu hadith Rasulullah. Bagaimana pula ayat Quran yang Quran yang beribu-ribu itu. Hendak mewarisi setiap ayat itu dengan lafaz pun kita tak termampu, inikan pula hendak mewarisi lafaz berserta pemahaman nas. Disinilah kita perlu berhajat kepada seseorang untuk menunjukkan kita diantara beribu-ribu nas itu mana yang mesti kena tahu lafaz dan kefahamannya sekadar yang perlu bagi peringkat kita. Jika kita peringkat baby, cukuplah kita tahu susu sebagai makanan asasi kita. Bila kita membesar sedikit, cukuplah kita tahu nestum sebagai makanan kita dan begitulah seterusnya.

Sekarang kita bertanya diri kita, peringkat manakah kita dalam perkembangan amal dan ilmu agama ini? Baby, kanak-kanak, remaja, dewasa atau orang tua. Jika Allah tentukan ada bahagian kita dari rezeki zahir sehingga kita telah dapat makan makanan semua jenis makanan diatas muka bumi ini daripada cappachino,kana kai kob, lamb chop, sushi, kuftah, mee bandung etc....maka berdoa jugalah biar ada rezeki batin bagi kita hingga dapat kita ’makan’ atau paling kurang ’menjamah’ segala apa yang disampaikan dalam Quran dan hadith Nabi. Wallahu’alam.

1 Comments:

At Thursday, September 13, 2007, Blogger Jacques said...

Sofwan, saya berterima kasih kerana menulis artikel yang bagus ini. Ia menjelaskan banyak perkara untuk saya. Hujah saudara yang simple, sangat benar. Ia benar menunjukkan yang Islam adalah MUDAH!

 

Post a Comment

<< Home