Saturday, December 16, 2006

Turath dan Hadhari (siri 1) -Kemana arah dakwah kita?

Turath dan Hadhari (siri 1) -Kemana arah dakwah kita?

Setelah hampir 5 tahun rasanya tidak saya ke Kampus Induk Cairo University Kali pertama dan terakhir dulu ketika menghadiri diskusi tesis Sarjana di Darul Ulum ( istilah Fakulti Pengajian Islam Cairo University) seorang pelajar Malaysia yang saya dengar telah menjadi pensyarah di UIA sekarang. Tapi suasana 5 tahun lepas berbeza kerana hari telah sore gelap dan saya tak perlu berjalan kerana membonceng motor honda kapcai bersama seorang abang lama yang berasal dari Felda Mawi.

Kampus induk Cairo University ini dipisahkan oleh Sungai Nil yang mengalir megah merentasi Mesir. Nil bukan sahaja memisahkan Cairo University daripada kota Kaherah yang terletaknya Universiti Azhar tetapi Nil juga menjadi simbolik kepada pemisahan 2 aliran pemikiran agama yang bukan sahaja berlaku di Mesir tetapi merebak ke negara-negara umat Islam yang lain iaitu aliran turath dan mua'sir/hadhari atau di Mesir diberi jolokan sebagai aliran serban dan tarbus. Di Tanah Melayu dahulu, mungkin aliran ini dikenali sebagai aliran Kaum tua dan Muda. Kini aliran ini tetap wujud dalam masyarakat Mesir namun pasak pertembungan itu bukanlah antara Darul Ulum dan Azhar lagi.

Darul ulum diasaskan pada tahun 1872 oleh al-Khudaiwi (Khedive) Ismail (1863-1879) yang merupakan arkitek kepada pembangunan mesir yang disifatkan oleh Syaikh Ali Jumaah sebagai orang yang bertanggungjawab merubah budaya hidup masyarakat Islam mesir daripada berteraskan kepada turath Islami kepada gaya hidup barat. Dizamannya lah, ramai tokoh-tokoh akademik dihantar ke barat untuk mengambil thaqafah barat yang dianggap maju dan moden. Maka Mesir berubah paksi daripada berada dibawah pemerintahan kerajaan Utmaniah kepada dasar pandang ke barat. Ulama' sendiri terbahagi kepada 2 aliran iaitu aliran turath yang didokong oleh majoriti ulama Azhar dan aliran moden yang didokong oleh lepasan-lepasan dari Barat.

Dasar al-Khudaiwi yang memandang ke barat sedikit sebanyak telah menyebabkan pemikiran barat terserap masuk ke dalam pemikiran dan minda ulama'-ulama' dan ilmuan Mesir. Diantaranya ialah Syaikh Mohd Abduh yang terkenal dengan kitab tafsir al-Manar nya. Semasa di sekolah menengah dahulu, dia tergolong diantara tokoh-tokoh agama yang termasuk dalam sukatan pelajaran. Tetapi saya tidak pernah membaca hasil penulisannya termasuk tafsir al-Manar. Sekadar mendengar dari mulut dan artikel-artikel majalah bahawa beliau seorang ulama' yang moderat namun sangat aktif melawan hujah-hujah orientalis barat.

Suka saya naqalkan komen syaikh Ali Jumaah terhadap tokoh ini ketika sessi sidang akhbarnya mengenai fatwa bahawa patung adalah haram. Syaikh Ali mengatakan bahawa Syaikh Mohd Abduh 'turun' dari jawatan mufti beberapa bulan sebelum kematiannya kerana kecewa dengan sikap 'orang suratkhabar' yang selalu mengkritik usahanya seolah-olah tiada benda yang baik dilakukan olehnya. Namun setelah beliau meninggal, banyak usaha-usahanya dikenang kembali disebabkan oleh KEIKHLASANnya. Maka dunia Islam sehingga kini, mengingatinya sebagai diantara tokoh abad ke 20 ini dan 'orang suratkhabar' yang mengkritiknya tidak lagi diingati. Al-hasil, Syaikh Ali ingin mengatakan bahawa setiap amal yang berdasarkan keikhalasan pasti akan kekal.Jika tidak di mata manusia, nescaya ada bahagiannya di sisi Allah.

Komen syaikh Ali yang kedua tentang Syaikh Mohd Abduh yang saya masih ingat ialah mengenai masalah-masalah khilafiah antara golongan sufi dan salafi. Ketika itu syaikh Ali belum menjadi mufti. Beliau mengatakan bahawa dahulu ketika hidupnya Syaikh mohd Abduh dan Syaikh Said Redha, kitab-kitab yang menyanggah pendapat-pendapat mereka yang mengkritik golongan sufi banyak dijual. Namun setelah mereka meninggal, kita tidak temui lagi kitab-kitab syuyukh tarikat yang menyanggah mereka. Kaedah yang diberinya, apabila seseorang itu telah meninggal maka itu menjadi urusan dia dan Tuhannya. Mengapa kita sibuk hendak berhujah ke atasnya lagi.

Sememangnya diketahui Syaikh Mohd Abduh sentiasa berselisih pendapat dengan ulama-ulama sufi diantaranya ialah Syaikh Yusuf Nabhani (semoga Allah merahmati mereka berdua). Malah saya pernah mendengar bahawa khalifah kerajaan utmaniah pernah cuba mendamaikan kedua tokoh ini dan tugas itu diamanahkan kepada seorang ulama Pattani yang saya lupa namanya. Masya Allah. Bahkan mereka berdua itu menjadi simbol kepada pertentangan antara Kaum Muda dan Tua di tanah melayu suatu ketika dahulu.

Zaman terus berjalan, pertembungan fikrah antara golongan turath dan moderat masih berlangsung tetapi versi yang berbeza. Namun dahulu pertembungan itu hanya terhad kepada persoalan furu' dan kefahaman nas yang berbeza namun masih dalam daerah yang tidak mengeluarkan seseorang daripada agamanya. Tetapi kini fikrah-fikrah songsang semakin banyak bercambah.

Saya cuma terbayang, bilakah pertembungan antara benar dan lebih benar ini akan berubah kepada pertentangan antara haq dan batil. UmmatL merindukan tokoh seperti Syaikh Hasan al-Banna(Mesir) dan Syaikh Saied an-Nursi(Turki) yang menyatukan saf muslimin di bawah satu panji berhadapan dengan kebatilan yang hakiki.Lawan kita bukan salafi (jika kita mengaku sufi) dan bukan juga sufi (jika kita mengaku salafi) dan bukan juga mana-mana pihak yang tidak selari dengan manhaj dakwah kita (jika kita mengaku haraki). Pertembungan Iman adalah kufur , lawan haq ialah batil bukannya perdebatan isu khilafiyah yang tidak habis-habis samaada isu khilafiyah itu berkaitan manhaj aqidah, mazhab feqh, mahupun manhaj dakwah dan tarbiyah.

Kearah manakah gerakerja dakwah kita selama ini? Suatu soalan muhasabah bagi semua umat Islam. Adakah kita mengajak kepada menghidupkan manhaj tauhid Assyairah atau manhaj tauhid uluhiyyah rubbubiyah? Adakah kita mengajak kepada feqh mazhab tertentu seperti mazhab Syafie atau kita mengajak kepada feqh tanpa mazhab? Adakah kita mengajak untuk menyatukan umat Islam atau mengajak agar umat Islam mengikut jemaah atau manhaj tertentu? Ataupun sememangnya kita mengajak kepada jalan Allah dan RasulNya sebagaimana yang disebut dalam Quran.

schistosoma_malayi






 

1 Comments:

At Wednesday, December 27, 2006, Anonymous Anonymous said...

yg pentingnya ikhlas..
teruskan usaha menulis,
rabbina maak..

 

Post a Comment

<< Home