Monday, August 07, 2006

Tawadhuk dan rendah diri

Berada lama di perantauan kadangkala menjadikan kita ter’lupa’ bahawa kita ada tanah air dan Negara yang mengalir Sg Nil itu bukan watan kita. Perbezaan budaya dan cara hidup Mesir dan Malaysia menjadikan kita lebih menghargai Negara orang daripada Negara sendiri. Hidup di Mesir simple… tak complicated, istilah birokrasi hampir terpadam dalam kamus hidup ini. Peluang berada disisi keluarga diambil untuk berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibubapa. Menemani ibu saya ke klinik Pakar HKL agak membosankan apabila melihat betapa ‘tertib’ nya orang Malaysia melakukan kerja dan mematuhi peraturan dan system. Hati ini rasa ingin terbang ke Mesir sebentar untuk lari dari system yang diatur. Tiba seawal jam 8 pagi tidak menjanjikan apa-apa. Nombor dipanggil 2-3 kali untuk mengikut prosedur hospital sebelum berjumpa Dr pakar. Mula dengan mendaftar, kemudian menunggu giliran setelah fail disiapkan, kemudian menunggu pula untuk pemeriksaan umum, kemudian menunggu pula untuk bertemu Dr. Pendek kata, amat membosankan. Terdetik dalam hati kecil, andaikata aku dikurniakan rezeki yang luas, ingin saja aku bawa ibuku ke hospital swasta. Biarpun agak mahal barangkali,tetapi biar perkhidmatan itu memuaskan. Sedang aku mengelamun dan mengumpat system hospital Malaysia di dalam hati, terdengar suara seorang kakitangan hospital
Tun Mohammed Salleh Abbas……Tun Mohammed Salleh Abbas”
Lalu kelihatan seorang yang agak rendah dengan penampilan yang simple berkaca mata sambil memegang surat khabar News Straits Time bangun ke kaunter. Tun Mohammed Salleh Abbas, bekas hakim Negara (beliau yang mengharamkan UMNO lama sebelum didaftar semula oleh Tun Dr Mahathir dan menjadi peguambela bagi Mat Sabu ketika kes khalwatnya) tenang apabila namanya dipanggil. Tiada riak kerisauan dan gundah gelana padanya biarpun bekas seorang VVIP negara. Kelihatan orang ramai mula berbisik-bisik. Kumat-kamit mulut mereka jelas mengatakan “ Itu Tun Saleh Abbas… yang kat sana tue” sambil menunjuk dengan takut-takut padanya. Kakitangan HKL semuanya tersenyum. Bangga barangkali dapat memberi khidmat pada bekas Hakim Negara.
MasyaAllah… bola bowling seberat 30 kg terasa jatuh dari langit atas kepala ini. Begitulah begitu humble dan tawadhuknya seorang hamba Allah yang telah diuji oleh Allah dengan nama,darjat, harta dan kemashuran tetapi tetap merasa rendah diri dan sanggup datang ke HKL sedangkan semua orang tahu bahawa beliau berkemampuan ke hospital swasta. Sedangkan aku, duit takde, gelaran takde, darjat takde dok merungut dengan birokrasi hospital.
Ayah ku juga menceritakan bahawa di kalangan Pegawai-pegawai ATM juga ada yang merendah diri biarpun berpangkat Jeneral (pangkat tertinggi dalam ATM). Dia pernah melihat Tan Sri Jeneral (B) Abu Samah menunggu giliran di Hospital Klinik Pakar ATM tanpa ada anggota tentera yang menyedari bahawa lelaki yang berpakaian ringkas itu suatu ketika dahulu ialah antara pegawai tertinggi dalam ATM. Tiada keluhan. Tiada kegusaran. Apabila ditanya, tiada siapakah yang attend beliau sebagai bekas panglima tentera di hospital itu dan mengapa tidak ke hospital swasta sahaja. Jawapannya ringkas. “ Takpelah…buat apa nak bazir duit. Kita (ATM) ada klinik pakar, kita datang jumpa orang kita dululah. Takde orang attend pun takpe, saya bukan dalam service lagi pun.itu dulu”

Selang 2-3 selepas menemani ibu saya, saya berkesempatan hadir ke majlis tahlil yang dihadiri oleh habaib-habaib Kuala Lumpur.Antara tujuan tahlil itu ialah untuk dihadiahkan kepada Syeikh Habib Syed Ahmed Semait yang baru meninggal bulan lepas. Malam itu macam berada di Yemen pulak rasanya Cuma bezanya mereka bercakap melayu. Yang mengetuai majlis tahlil ialah Dato Dr Haron Din. First time saya jumpa Dato Haron Din di majlis tak formal begitu.Jiran saya memuji Dato Haron Din, “….daripada dulu hingga sekarang katanya begitulah dia.Humble, ringkas , tawadhuk . Tazkirahnya is still the best. He is the best. Biarpun banyak kali pernah kita dengar tentang Isra’ mi’raj tapi jika yang bercakap itu Dato Haron Din. Kita tetap rasa puas mendengar ceramahnya.”
Benar, Dato Haron Din memang simple orangnya. Di majlis itu juga saya diperkenalkan oleh jiran saya dengan tetamu-tetamu yang hadir. Ada tokoh koporat, ada bekas duta, ada professor, pendek kata macam-macam lapisan habaib Kuala Lumpur ada. (tapi aku sekadar salam jerlah. Bukan ada bizniz kad nak bagi pun. Nak bagi kad kuliah adalah hahahah) namun mereka tetap simple.
Hebat… Allah memang mengurniakan kekayaan kepada ahli bait Rasul. Sebelum pulang, ada ternampak seorang Habib dari Jeddah. Tidak pulak saya ingat namanya. Tapi diceritakan bahawa bapanya meninggalkan harta pesaka padanya sebanyak 300 juta riyal !! MasyaAllah. Dunia ini rupanya sifirnya lain. Seperti kata Syaikh Ali Jumaah. Dunia ini jangan dikejar, jika dikejar lagi dia akan lari. Tapi jika kita tak kejar dunia, dunia yang akan kejar kita.

Begitulah manusia jika mereka mengenal diri mereka. Pangkat, harta , kemewahan tidak pernah melupakan diri mereka. Tetapi bagaimana dengan kita? Ilmu tentang tawadhuk, rendah diri, zuhud, ikhlas di kitab-kitab tidak menjamin kita mampu menjadi seperti Tun Mohd Salleh Abbas, seperti Tan Sri Abu Samah, seperti Dato Haron Din seperti Tok Guru Nik Aziz. Mereka mentahkik kan makna tawadhuk dan rendah diri dalam jiwa mereka tetapi kita hanya menghafaz takrif dan melafazkan makna rendah diri di bibir sahaja. Tahkikkan dalam diri, tanpa berkata apa-apa,makna tawadhuk sampai pada orang yang melihat kita. Namun, jika tiada sifat-sifat mahmudah itu dalam diri. Bacalah beratus-ratus kitab tentang tawadhuk,zuhud,rendah diri lalu mengajak orang untuk bersifat tawadhuk, nescaya tiada siapa akan faham. Sifat-sifat itu bukan untuk diukir dalam kitab tapi untuk ditahkik pada jiwa. Renung…renungkanlah.

Schistosoma_malayi
Di tanah air...