Monday, June 26, 2006

Menyokong revolusi dan Syiah Imamiah di Iran, suatu iktiqad atau fikrah?

Sejak kebelakangan ini, setelah Iran menyambut revolusinya yang ke 25.Kemudian diikuti dengan ulangtahun pemergian Imam Khoemeini.Saya terbaca tulisan-tulisan yang memberikan ‘kredit’ kepada Syiah Imamiah. Yang terbaru saya membaca tulisan penulis politik terkenal tanahair yang dikenali dengan Pak Habib di www.umno-reform.com yang cuba menghubungkaitkan antara krisis hubungan PM dan Tun Mahathir dengan krisis sunni dan syiah, yang pada hematnya menyebabkan ummat Islam berpecah belah. Namun disebalik tulisannya itu, beliau menceritakan tentang kehadirannya di sambutan ulangtahun kematian Imam Khomeini dan kekagumannya dengan tokoh tersebut yang hidup berjasa dan mati dikenang.Tidak seperti pemimpin-pemimpin UMNO.
Salah seorang lagi ialah penulis novel dan cerpen terkenal tanahair, Faizal Tehrani yang mem’promosi’kan revolusi Iran di blognya disamping mempertahankan syiah imamiah dengan fatwa bekas Syaikh Azhar yang juga ada disebut oleh Pak Habib. Saya kira fatwa ini sengaja dijaja oleh pendakwah-pendakwah Syiah ( yang saya rujuk sebagai sesiapa yang beriktiqadkan aqidah syiah bukan fikrah) untuk mengatakan bahawa authority Sunni yang terbesar sekali pun mengatakan Syiah ialah umat Islam. Benar mereka umat Islam namun mereka bukan ahlus sunnah wa jamaah.
Syiah Imamiah berbangga dengan pegangan iktiqad dan feqh yang berasal kedua-duanya daripada salur galur ahlul bait. Feqh mereka adalah mazhab Imam Jaafar as-Sodiq yang pada iktiqad Syiah Imamiah merupakan salah seorang Imam yang dua belas. Berbeza dengan mazhab feqh golongan sunni yang diambil daripada mazhab Imam Hanafi, Maliki,Syafie, dan Ahmad. Imam-imam ini bukan keturunan ahlul bait mengikut takrifan syiah. Yang paling hampir sekali dengan keturunan Nabi hanya Imam Syafie dan dikira sebagai ahli bait mengikut takrifan sebahagian ulama sunni.
Ulama sunni tidak menolak feqh mazhab Imam Jaafar (seperti dalam fatwa bekas Syaikh Azhar itu ) kerana feqh bukan persoalan iktiqad dan aqidah. Bahkan jumhur Ulama-ulama ahlus sunnah tidak mengkafirkan syiah kerana takfir bukan manhaj ulama-ulama sunni tetapi manhaj ulama-ulama syiah yang mengkafirkan sahabat-sahabat Rasulullah yang agung. Refleks tindakan mereka itulah yang menyebabkan sebahagian ulama sunni dengan keras menolak mereka dan mentaqyidkan kejian dan mengkafirkan sahabat dengan hukum kufur. Namun untuk mendapatkan simpati, pendakwah syiah seringkali mengatakan bahawa syiah dizalimi, syiah dikhianati, syiah dinafikan hak mereka, dan paling teruk, syiah dikafirkan..!!
Kepada mereka yang tidak mengetahui aqidah syiah, maka rasa simpati dengan syiah akan mengheret kepada mengenal fahaman syiah. Lalu suara-suara, syiah tidak salah, syiah seperti sunni, syiah adalah mazhab seperti mazhab Syafie dan Hanafi serta banyaklah lagi suara-suara belas ihsan dan simpati pada syiah. Malah syiah yang berbangga dengan revolusi Iran lalu dicanang bahawa syiahlah model kepada negara Islam. Begitu juga bagi mereka yang tidak mengetahui dasar aqidah Wahabiah. Pastinya cuba mengjustifikasikan dengan mengatakan wahabiah tidak salah dan merekalah sebenarnya yang menegakkan Islam.
Silauan kejayaan revolusi dan jumlah rakyat yang menyambut ulangtahun kematian Khomeini di Iran tidak menyilaukan mata-mata orang yang mengetahui iktiqad aqidah Syiah Imamiah. (Begitu juga perlaksanaan hukum hudud di Saudi tidak menyilaukan mereka yag mengetahui aqidah wahabiah.) Usaha-usaha mendekatkan antara sunni dan syiah adalah lebih kepada usaha menyatukan saf umat Islam dalam menentang kekufuran yang nyata. Tujuannya untuk mengelakkan umat Islam saling berbunuhan dan bergaduhan sesama sendiri sedangkan mereka semua bersolat berkiblatkan kaabah dan mencintai Rasulullah serta ahli bait baginda (selawat dan salam keatas baginda dan ahli baitnya) Perselisihan ini pastinya merugikan umat Islam diwaktu umat ini berhadapan dengan keangkuhan Amerika dan penyokongnya. Bahkan musuh Islam mengambil peluang perselisihan ini untuk mengkucar-kacirkan kestabilan Iraq agar mereka lebih lama di sana. Namun penyatuan pada masalah-masalah usul adalah mustahil melainkan salah satu pihak mengaku kesalahan pada iktiqad mereka. Pastinya keyakinan kita bahawa iktiqad yang benar itu adalah iktiqad ahlus sunnah waa jamaah. Usaha penyatuan sunni-syiah bukan bererti membenarkan iktiqad syiah tetapi membetulkan fahaman mereka yang salah melalui jalan dialog dan perbincangan dengan harapan mereka membetulkan iktiqad mereka. Jika tidak berhasil sekurang-kurangnya ditemui titik-titik yang boleh disambung kerana adanya kesepakatan antara sunni-syiah seperti mencintai ahlul bait dan bersama memerangi kekufuran dan kezaliman zionis.
Perbezaan kita dengan Syiah (mahupun Wahabiah) bukan pada masalah feqah semata-mata tetapi pada masalah usul. Iaitu iktiqad. Maka kepada mereka yang merasakan dalam diri mereka bahawa aqidah dan iktiqad syiah tidak salah, maka saya rasa berhenti daripada bercakap mengenai syiah kerana anda tidak mengetahui apa yang anda katakan. Namun jika hanya rasa mahabbah dan bangga dengan pejuang-pejuang revolusi Iran yang gigih dalam menjatuhkan kerajaan regim Shah Iran maka barangkali mereka boleh dijadikan contoh gerakerja kerana anda menjadikan mereka wasilah untuk kebangkitan umat Islam.agar bangun dari lamunan. Golongan kedua ini hanya cenderung pada fikrah perjuangan.
Namun apabila umat Islam telah bangun , ucapkanlah selamat tinggal pada syiah kerana mereka hanya model pada semangat dan gerakerja untuk mendaulatkan Islam, bukan ikutan atau pegangan iktiqad yang perlu diikut. Namun berhati-hati kepada simpatisan-simpatisan syiah atau yang berfkrah perjuangan revolusi Iran, samada anda mempergunakan syiah untuk menyedar umat Islam yang majoritinya adalah aqidah ahlus sunnah atau anda dipergunakan oleh syiah untuk menyebarkan iktiqad mereka.
Kepada mereka yang merasakan syiah tidak salah dari segi aqidah, bacalah tajuk terakhir dalam kitab "al-buhuus fii ilmi-kalam" karangan Syaikh Saied Foudah tentang “Imamah” untuk menjelaskan aqidah dan iktiqad syiah imamiah adalah batil dan mereka bukan golongan ahlus sunnah. http://www.al-razi.net/website/pages/bohooth.htm. Dijelaskan perbezaan antara "imamah" yang difahami oleh sunni dan Imamah yang diiktiqadkan oleh syiah.
Kepada golongan yang mengkagumi fikrah revolusi Iran dan Imam Khomeini pula, bacalah risalah kecil “Dua wajah yang bertentangan” (bahasa Arab) yang dikarang oleh Imam Allamah Syaikh Abu Hassan Ali an-Nadwi al-Hasani yang juga keturunan ahlul bait seperti Imam Khomeini. Cukuplah dengan risalah kecil itu untuk menjentik telinga-telinga mereka yang mempunyai fikrah kebangkitan Islam seperti apa yang dicanang di Iran agar mereview kembali fikrah tersebut
Mahabbah Sayyidul al-Kaun dan ahli bait baginda (Selawat dan salam keatas baginda dan ahli baitnya) tidak sampai saya mengkagumi tokoh yang menghina sahabat-sahabat baginda. Dan bukan pula menghukum tokoh itu dengan kekufuran. Kemuliaan suhbah dan nasab adalah dua kemulian yang Allah khususkan kepada sahabat dan ahli bait maka sesiapa yang cuba menafikan salah satu daripadanya maka mereka itu adalah golongan yang melampau.
Kepada Pak Habib dan ustaz Faizal Tehrani, saya kira mereka tahu dan faham apa mereka tulis. Samada syiah itu wasilah kepada matlamat atau syiah imamiah itu matlamat tulisan mereka. Hanya Allah yang Maha Mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang diqasadkan kerana iktiqad adalah di hati bukan pada anggota. Namun apa yang diiktiqad itu boleh dizahirkan dengan anggota. Setakat apa yang dizahirkan dalam tulisan mereka (khususnya Ustaz Faizal) melalui anggota yang menaip itu menunjukkan mereka menjadikan syiah itu wasilah kerana perjuangan dan ketegasan golongan syiah di Iran menunjukkan umat Islam boleh bangkit menentang kekufuran disamping rasa kecintaan dan mahabbah mereka kepada ahli bait menyebabkan syiah yang ditonjol sedangkan matlamat mereka ialah kecintaan pada ahli bait .Benarkan begitu Ustaz Faizal ?.Namun saya kira mensifatkan Saidatina Fatimah dengan kemaksuman pada tulisan blog bertarikh 22/6/2006 itu perlu diperbetulkan. Wallua’lam.

1 Comments:

At Friday, July 07, 2006, Anonymous Anonymous said...

ustad,
sdh baca entri terbaru ustad faisal tehrani?

 

Post a Comment

<< Home