Friday, May 15, 2009

تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَة سَوَاء

 Pada tahun 2006, saya telah dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa sejumlah besar ulama ahlus sunnah akan dibawa ke Malaysia untuk menghadiri Seminar Perpaduan Ummah dan Permurnian Aqidah yang berlangsung di Kuantan dan UIA. Beliau adalah orang yang dipertanggungjawab menguruskan jemputan dan mengumpulkan sejumlah ulama’ itu.
Berita yang sampai ketika itu bercampur baur antara pro dan kontra membawa sejumlah besar ulama ahlusunnah dari pelbagai negara diantaranya:
Saudi- Syaikh Dr Abdullah Kamil,Syaikh Syarif Abdullah Al-Farraj,Syaikh Sayyid Ahmad Muhammad ‘Alawi
Mesir- Syaikh Usamah al Sayyid, Syaikh Muhd Ibrahim al-Kattani,Syaikh Dr. Sa’ad Jawish
Jordan- Syaikh Saied Abdul Latif Foudah

Apabila dimaklumkan kepada saya tajuk-tajuk yang akan dibentangkan adalah sekitar masalah-masalah khilafiah khususnya antara kita dengan neosalafi.Diantaranya ialah masalah hukum hakam berkaitan kubur, masalah pembahagian tauhid uluhiyah dan rubbubiyah, masalah takwilan ayat sifat, masalah bidaah, dan masalah at-tark. 

Saya ketika itu melahirkan rasa tidak setuju diatas kapasiti pendapat peribadi, bahawa tajuk-tajuk itu terlalu minor jika dibandingkan dengan status ulama yang akan membentangkannya. Saya sama sekali tidak teruja untuk pergi biarpun ketika itu berada di Malaysia. Kerana bagi saya perkara-perkara itu jika diangkat kepada umum akan menjadi satu isu kepada masyarakat yang akan menambahkan kecelaruan ummat. Apatah lagi yang membincangkan tajuk-tajuk itu adalah ulama’ luar dan bukannya ulama tempatan. 

Namun begitu, ternyata apa yang saya sangka adalah jauh meleset. Setelah berlalu hampir 3 tahun, saya baru berkesempatan mendengar sebahagian pembentangan seminar itu dalam bentuk video. Ternyata seminar itu sebenarnya adalah jauh dari membincangkan tajuk-tajuk diatas secara detail. Namun apa yang dibentangkan oleh ulama berupa usul kepada sekalian masalah itu.Sejumlah nama Ulama’ yang disebut diatas, pada saya cuma rakaman video seminar yang berlangsung di UIA yang menampilkan Syaikh Umar,Syaikh Abdullah,Syaikh Saied dan Syaikh Usama.

Dalam masa sejam lebih kurang bagi setiap pembentangan, ulama-ulama rabbani ini ternyata membuka minda pendengar dengan melihat semua masalah dari skop yang lebih besar. Mereka datang dengan menyerahkan kunci kefahaman kepada ummat untuk menyelesaikan masalah. Ternyata kedatangan mereka tidak sia-sia. Seminar yang berlangsung selama 2 hari itu bagi saya telah membuka satu perspektif baru terhadap lembaran khilaf antara ahlussunnah dan neosalafi. 

Saya amat terkesan dengan ucapan Syaikh Saied Foudah, bahawa kita tidak boleh bersatu menghadapi secular jika kita tidak menyelesaikan perbezaan pendapat sesama kita sendiri. Kita perlu “mengangkat kepala-kepala” kita dengan menerima hakikat bahawa kita tidak boleh lagi “buat-buat jahil” bahawa antara kita sesama ummat Islam ada perkara khilaf yang perlu dibincangkan sebelum kita bersatu menentang kekufuran. Khilaf adalah sesuatu yang tidak boleh dimajhulkan, tetapi khilaf itu tidak sepatutnya membawa kita sesama ummat Islam berpecah-belah dan kufur mengkufur sesama sendiri.

Atas dasar itu, dialog dan perbincangan perlu berlangsung untuk mencari dimana sebenarnya punca kepada khilaf ini dan masing-masing menerima kritikan dan pandangan kawan mahupun lawan secara terbuka. Di telinga saya terngiang-ngiang lagi suara Syaikh Ali Jumaah yang selalu melaungkan ayat Quran dibawah ketika berkhutbah di Masjid Sultan Hasan.

تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَة سَوَاء بَيْننَا وَبَيْنكُمْ أَلَّا نَعْبُد إِلَّا اللَّه وَلَا نُشْرِك بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذ بَعْضنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُون اللَّه فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اِشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Beliau melaungkan ayat ini dengan cukup lantang seolah-olah ingin satu dunia mendengarnya 
suaranya, dengan bercampur baur rasa hiba melihat agama ini diperangi dengan begitu hebat sedangkan kita hanya mengajak manusia untuk bersama diatas satu kalimat Tauhid. 

Sebab turun ayat ini biarpun ditujukan kepada ahli kitab yang datang dari Najran yang bertemu Rasullulah untuk berdebat tentang kebenaran agama mereka, namun ayat ini adalah suatu seruan kepada semua manusia agar bersatu dan tidak berpecah belah diatas kalimat Tauhid. Tetapi jika setelah dialog dan perbincangan itu tidak membuahkan hasil lalu mereka berpaling, maka bersaksi lah wahai sekalian manusia bahawa kami adalah ummat Islam. Kami menyembah Allah yang Maha Esa. Apakah kalian tidak boleh menerima kami di atas bumi ini sebagai ummat Islam yang berpaksikan kepada tauhid?

Jika Rasulullah mengajak sekaliaan manusia untuk bersatu diatas kalimah Tauhid, maka apakah kita sesama ummat Islam tidak mahu lagi bersatu diatas kalimah yang agung ini. Mengapa kita mengeluarkan bahasa-bahasa yang kesat, menyalahkan antara satu sama lain hingga membawa kepada bidaah membidaah dan kufur mengkufur antara sesama kita. Rasulullah menyeru dengan suatu seruan yang mengajak kepada perpaduan tetapi kita menyeru dengan seruan yang mengajak kepada perpecahan ummat.

Di waktu kita diserang dari segenap penjuru, diwaktu kita ditekan dengan kezaliman, diwaktu wanita-wanita dan anak-anak ummat Islam dibunuh, diwaktu belia kita hilang arah tujuan hidup, diwaktu maruah kita diinjak-injak oleh kuffar,diwaktu kita ketinggalan dari semua semua sudut kehidupan, kita masih lagi boleh bertelingkah sesama sendiri. 

Kepada mereka yang ada sedikit kesedaran agama, jangan lagi dijadikan khilaf sesama kita itu sebagai sebab untuk kita berpecah. Hulurkan tangan ukhuwah kita dengan rasa penuh rendah diri. Mari kita duduk semeja berbincang dimana khilaf kita dengan hati yang terbuka. Datangkan hujah masing-masing dengan penuh hormat. Jika terzahir kebenaran dipihak yang berbeza pendapat dengan kita, maka kita kena bersedia menerima dan begitu juga sebaliknya. Jika tiada kemuafakatan, maka hulurkan tangan ukhwah kita sebagai symbol agung bahawa walaupun kita ada khilaf tetapi kita tetap menyembah Allah yang Maha Esa. Biar kita sama-sama bersaksi bahawa kita adalah ummat Islam. 

Antara kita dengan golongan neosalafi, khilaf kita tidak banyak. Sekitar 100 masalah. Sedangkan khilaf antara fuqaha’ dalam empat mazhab yang muktabar menjangkau beribu-ribu masalah. Namun fuqaha’ tidak berpecah belah. Bacalah sebuah kitab kecil yang ditahkik Syaikh AbuGhuddah yag memuatkan 3 surat ulama’ salaf نماذج من رسائل أئمة السلف وأدبهم العلمي))
 yang mengutuskan surat kerana khilaf yang terjadi sesama mereka dalam beberapa masalah agama. Mereka menulis dengan penuh rasa hormat, dengan penuh rasa saling kasih mengasihi. 

Bahkan Syaikh Abu Ghuddah ada jugak mentahkik sebuah kitab Syaikh Ibn Taimiyah 
(رسالة الألفة بين المسلمي) yang menyeru ummat Islam ini agar jangan bermusuhan. Begitu juga saya pernah membaca risalah Syaikh Zaini Dahlan (mufti Syafieyah Makkah dahulu) yang menjelaskan satu masalah feqh setelah ditanya oleh ulama Hanafiah. Awal soalan itu ditanya dengan penuh hormat “ wahai sadah fuqaha syafieyah, apakah pandangan kamu terhadap masalah…..” 

Begitu juga khilaf antara Imam Ibn Hajjar al-asqolani dan Imam al-aini yang mashhur dalam mensyarahkan kitab shohih Bukhari. Mereka hidup sezaman dan setempat di kaherah ini. Keduanya adalah ulama’ besar dalam mazhab Syafie dan Hanafi. Mereka berkhilaf tetapi kedua-dua berkhilaf dengan penuh hormat. Jika salah seorang mensyarahkan hadith dalam shohih bukhari tetapi syarahan itu tidak sama dengan pandangannya, maka salah seorang akan mendatangkan hujahnya pula. Dan alhamdulillah, kedua-dua syarah shohih bukhari itu dapat kita tatapi hingga hari ini.

Begitu juga khilaf mashur antara Imam Ibn Solah dan Imam Izz as-salam dalam masalah solat ragaib. Keduanya adalah ulama’ mazhab syafie. Namun mereka tidak sepakat dalam adakah solat ragaib (dilakukan pada malam nifsu syaaban sebanyak seratus rakaat kalau tak silap saya) sunat dilakukan. Masing-masing mendatangkan hujah tetapi mereka tidak menghamburkan perkataan yang menyalahkan antara satu sama lain.

Begitu juga khilaf antara saudara Ghumari (Syaikh Ahmad dan syaikh Abdullah) dan syaikh Zahid al-kauthari. Biarpun mereka tidak sepakat dalam beberapa masalah tetapi syaikh Abdullah dalam kitab “bida’ tafasir” menjelaskan bahawa ukhuwah mereka tetap baik. Bahkan ada pihak yang ingin melaga-lagakan mereka dengan menabur fitnah terhadap Syaikh Zahid. Namun Syaikh Zahid tidak mengendahkannya bahkan beliau tetap menjalinkan hubungan yang baik dengan syaikh ahmad dan syaikh Abdullah al-ghumari. 

Itulah ketinggian akhlak yang ditunjukkan oleh ulama’ kita. Mengapa kita yang ilmu tidak seberapa ini hendak bertekak sampai menyising lengan dan cabar mencabar apabila orang lain mempunyai pendapat yang berbeza. Lapang dada, angkat masalah itu diatas meja perbincangan dan saling terima menerima pendapat yang berlainan lalu cuba diselesaikan. Jangan sebelum kita mendengar pendapat yang lain kita sudah ada mind setting bahawa kebenaran ini milik aku. Kebenaran adalah milik Allah. Maka kembalikan hak kebenaran itu kepada pemilik kebenaran yang sebenar. Jangan terlalu megah bahawa pendapat yang dipegang oleh kita sahaja yang benar. 

Sebagai kesinambungan kepada post ini, saya sertakan penjelasan tentang masalah pergerakan dalam berzikir. Yang termasuklah dalam makna pergerakan itu mengelengkan kepala, mengerakkan badan, dan berzikir sambil berdiri. Sememangnya perkara ini adalah khilaf antara ulama’. Sebahagian ulama mengatakan ianya tidak disyariatkan. Manakala saadah ulama’ sufiah mengatakan ianya harus dan mereka mempunyai hujah bahawa pergerakan dalam berzikir itu adalah harus. 

Abu Abbas lutfi
Manyal,kaherah.



0 Comments:

Post a Comment

<< Home