Tuesday, April 14, 2009

Kemaksuman Rasulullah (selawat dan salam keatas baginda dan ahli baitnya)

Kemaksuman Rasulullah (selawat dan salam keatas baginda dan ahli baitnya)

Menjadi sebahagian daripada pegangan aqidah kita bahawa Rasulullah dan para anbiya’ rasul yang lain adalah maksum iaitu terpelihara daripada segala dosa sebelum mahupun selepas dilantik menjadi anbiya’.
Namun terdapat nas dalam Quran yang jika dibaca dengan lafaz zahirnya seolah-olah ada bagi mereka dosa. Saya pernah menulis dalam blog ini tentang kehebatan seorang ulama bernama Syaikh Mohd Ibrahim al-Kattani yang mempunyai basirah yang tinggi dalam ilmu balaghah. Tatkala ramai ulama berbicara dengan ilmu alat yang lain, beliau tampil dengan ilmu balaghah bagi memandu ummat menuju kefahaman agama yang benar.
 Setelah beberapa tahun, baru saya berpeluang membaca kitabnya bertajuk “Raddu al-mutasyabihat ilaa al-muhkamat fii janib al-khatamin an-nubuwwat” yang ditulis khas untuk menolak shubhat sebahagian ulama yang mentafsirkan ayat Quran dengan zahir ayat lalu seolah-olah menafikan kemaksuman rasulullah.

Saya cuba simpulkan perbahasan tentang ayat dibawah sahaja untuk menunjukkan betapa Allah sentiasa memelihara kekasihNya dengan melahirkan ulama’-ulama’ rabbani yang dikurniakan futuh olehNya untuk memandu umat ini dari terpesong dari kebenaran. Salah seorang ulama yang hidup pada zaman kita ini ialah Syaikh Mohd Ibrahim al-kattani. Semoga Allah memeliharanya dengan sebaik pemeliharaan supaya dapat kita meneguk secebis ilmu daripada lautan ilmu Allah yang tidak bertepian.

Firman Allah
إنَّا فَتَحْنَا لَك فَتْحًا مُبِينًا لِيَغْفِر لَك اللَّه مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبك وَمَا تَأَخَّرَ

Zahir ayat ke-2 surah al-fath ini jika diterjemahkan tanpa dipandu dengan ilmu akan membawa maksud :
“ (………supaya Allah mengampunkan bagimu wahai Muhammad dosamu yang telah terdahulu mahupun yang terkemudian”

Pastinya terjemahan diatas salah malah seburuk-buruk dan sebiadap terjemahan diatas kedudukan baginda yang maksum. 

Sebenarnya dosa itu adalah dosa-dosa kaum Quraisy terhadap nabi ketika mereka menghina dan menolak dakwah nabi pada awal perutusannya sebagai rasul. Itu adalah termasuk dalam bab mengidhofahkan masdar kepada maf’ul dan bukannya mengindhofahkan masdar kepada fae’l .Inilah yang dinaqalkan oleh Syaikh Mohd Ibrahim daripada Syaikh Abdullah Siddiq al-Ghumari.

Contoh mengidhofahkan masdar kepada fae’l adalah jelas. Bahkan terjemahan yang salah diatas adalah disebabkan mengidhofahkan masdar kepada fae’l dari segi makna. Contoh lain dalam Quran bagi bab ini ialah:

فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْد ظُلْمه وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّه يَتُوب عَلَيْهِ إنَّ اللَّه غَفُور رَحِيم

Masdar kezaliman itu diidhofah kepada fae’l nya. 

Contoh mengidhofahkan masdar kepada maf’ul dari segi makna pula ialah:

وَلَمَنِ انْتَصَرَ بَعْد ظُلْمه فَأُولَئِكَ مَا عَلَيْهِمْ مِنْ سَبِيل
maka ayat ini bermaksud “ Dan barangsiapa yang membalas semula selepas dia dizalimi…” bukannya “yang membalas semula selepas dia berbuat zalim” jika diterjemah secara zahir ayat.

Oleh itu Allah menurunkan Quran dengan balaghah yang cukup tinggi. Namun permata balaghah itu tidak dapat kita perolehi melain dipandu oleh ulama’-ulama’ rabbani. Mereka lah yang mengeluarkan mutiara ilmu itu dari Quran sehingga menjadi pelbagai ilmu Islam yang kita timba sekarang.Tanpa ulama’-ulama’ rabbani ini jadilah kita sebiadap-biadap manusia dalam berbicara tentang hak kekasihNya dengan menterjemahkan ayat ke-2 dalam surah al-fath dengan menyangka bahawa Allah mengampun dosa nabi. Dalam tafsir Jalalain, ayat itu ditafsirkan seperti berikut:

وَهُوَ مُؤَوَّل لِعِصْمَةِ الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِمْ الصَّلَاة وَالسَّلَام بِالدَّلِيلِ الْعَقْلِيّ الْقَاطِع مِنْ الذُّنُوب 

Maka datang ulama mutaakhirin menjelaskan bagaimana hendak mentakwilkannya dengan berdasarkan ilmu yang dijelaskan dalam Quran sendiri daripada 2 contoh ayat diatas. Penjelasan Syaikh Mohd Ibrahim telah menyempurnakan tugas ulama sebelumnya bahkan memberikan kita master key untuk membuka pintu-pintu kesamaran yang lain. 
Ini hanya satu contoh dari ayat Quran yang jika hanya diambil sanad lafaz tanpa sanad pemahaman akan membawa kepada penyelewengan. Maka ambillah ilmu dengan sanad lafaz dan sanad pemahaman agar kita sentiasa berada diatas jalan yang lurus. Alhamdulillah diatas nikmatNya dengan memilih sebahagian hambaNya sebagai ulama’ rabbani agar memandu ummat ini. Sesungguh imdad Allah keatas makhlukNya tidak akan putus, dan selama itulah ummat ini akan terpelihara dengan lahirnya ulama-ulama seperti syaikh Mohd Ibrahim. Alhamdulillah.
Abu Abbas Lutfi 
Manyal,Kaherah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home