Thursday, November 12, 2009

Perjalanan hidup yang berperingkat..

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

 Wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi ialah “bacalah wahai Muhammad”. Satu ayat perintah untuk nabi memulakan peranannya sebagai Rasul dengan membaca.. Lalu di’kawan’kan suruhan membaca itu agar membaca dengan nama tuhan yang mencipta manusia dari segumpal darah. Lalu diperintah membaca lagi tetapi ditegaskan bahawa Allah itu lebih mulia yang mengajar manusia apa yang mereka tidak tahu.

Ayat ini dibaca sejak umur kita tidak lebih dari bilangan jari. Nilai ayat ini semasa kecil hanya sekadar ayat yang menyuruh Rasul membaca. Apabila umur di peringkat belasan nilai ayat ini bertambah dengan mula mengetahui bahawa Islam mementingkan proses pendidikan atau tarbiah dalam pembentukan umat. Dan nilai ayat ini akan terus bertambah dan bertambah selari dengan pertambahan umur dan perkembangan mental.

Sebelum mempelajari apa yang diistilahkan dengan embrio, nilai ‘segumpal darah’ dalam ayat ini tidak lebih dari gambaran segumpal darah. Apabila pengetahuan kita bertambah gambaran segumpal darah itu bukan lagi hanya segumpal darah tetapi merupakan segumpal darah yang penuh keajaiban. Apabila bertambah lagi pengetahuan, gambaran segumpal darah  berubah menjadi asas kepada perkembangan manusia dalam kandungan yang diistilah dengan intra uterine life.

Begitu juga dengan ayat-ayat yang bersifat ayat kauniah (ayat yang menjelaskan kejadian alam) yang lain. Semakin hari, ilmu yang kita perolehi dari kejadian alam dan manusia membuatkan kita semakin merasa keagungan Tuhan. Lafaz “subnallah” itu jauh lebih mendalam dalam benak hati kita apabila ilmu kita bertambah dari semasa ke semasa. Diri kita merasa kerdil apabila ilmu kita bertambah. 

Namun Quran cuma memberikan kunci kepada semua pengetahuan yang kita perolehi sekarang. Quran bukan sebuah ensiklopedia untuk memuatkan semua ilmu dalam sebuah kitab yang sebegitu kecil. Ianya bersifat index kepada panduan hidup yang amat luas ini. Untuk mengembangkan index itu, Allah menjadikan Rasulullah sebagai penghurai simpul segala ikatan Quran melalui perbuatan,perkataan dan ikrar. Lalu terbit hadith-hadith yang bersifat pembuka kepada segala index Quran.

Namun penghuraian pembuka index itu masih tidak memadai merungkai segala rahsia Kalam Allah yang terlalu agung. Lalu para ulama mengembangkan segala ilmu itu agar dibukukan sehingga sampai kepada kita sekarang. Dalam keadaan itu pun Quran masih belum dan tidak akan habis diterokai kerana Quran adalah Kalam Allah yang bersifat Qadim. Yang tiada pengakhirannya. Infiniti.Kerana itu arahan membaca kali kedua disertakan dengan peringatan bahawa Allah itu lebih mulia dan Dia sebenarnya yang mengajarkan apa yang kita tidak tahu.

Istilah ‘discover’ atau ‘inkisyaf’ hanya kalimat majaz kepada makna “mengetahui benda yang sebenarnya telah lama ada”. Bukannya menemui benda yang sebelum ini tiada. Proses discover ini akan berterusan sehingga kiamat kerana ianya adalah infiniti melainkan ditamatkan sepertimana tamatnya wahyu yang pertama itu iaitu mengetahui Allah itu pemilik sekalian ilmu.

Maka matlamat kepada arahan membaca sebagai isyarat kepada proses pembelajaran yang berterusan adalah mentahkikkan وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ   (Dan Tuhanmu yang paling mulia).

Pendidikan moden dalam apa jua bidang yang bersifat non-religious menceraikan konsep matlamat membaca atau belajar yang disebut dalam Quran kerana barat tidak mahu kita belajar supaya kita mengenal Tuhan tetapi membiarkan kita belajar supaya berlagak seperti tuhan. Akibatnya manusia berhasad dengki kerana ilmu, berebut jawatan dan pangkat dengan ilmu, bermegah-megah kerana ilmu, mengaut keuntungan dengan ilmu. Jika pendidikan bermatlamatkan untuk mengenal Tuhan maka dunia yang porak peranda akan bertukar wajah. Manusia tolong-menolong untuk mengembangkan ilmu, membantu yang lemah memperolehi ilmu, merendah diri kerana berilmu, berkongsi kemanfaatan dari ilmu kerana kita sedar bahawa yang mengajarkan kita ilmu itu ialah Tuhan yang Alimun Hakim.

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Tiada ilmu bagi kami melainkan apa yang diajarkan oleh Mu ya Allah dan sesungguhnya Engkau lah yang pemilik sekalian ilmu lagi Maha bijaksana”

 

Abu Abbas Lutfi

Manyal, Kaherah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home