Tuesday, April 18, 2006

Nil yang mengajar erti hidup

Kehidupan yang di lalui mengajar suatu yang berbeza pada setiap orang. Masa dan peristiwa menjadi guru yang tidak kurang hebatnya dalam menyampaikan pengalaman dan ilmu kepada manusia yang mahu menggunakan akalnya untuk berfikir.Sekurang-kurangnya,ia menjadi panduan kepada empunya diri agar tidak melakukan kesilapan yang sama untuk kali yang kedua,kalaupun akalnya tidak berkemampuan untuk menjadikan pengalaman itu sesuatu yang benda yang boleh di terjemahkan dan menjadi panduan kepada orang lain.
Itulah yang kami lalui beberapa tahun yang lalu sebelum sampai ke bumi nil ini.Bumi yang barakahnya samar-samar kelihatan,mungkin tersembunyi dek debu tebal dari sahra' yang terbentang luas,atau kelemahan kami yang masih mentah dalam membezakan kristal asfour dan berlian asli.Sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sini,kami hilang punca berhadapan dengan hakikat yang cukup khilaf dengan apa yang digambarkan oleh kami di tanah air.Mulalah "zikir harian" kami meluahkan ketidakpuasan hati masing-masing,menyalahkan suasana keliling tanpa cuba melihatnya dari sudut yang positif dan membina.
Tapi itu dulu.Zaman kami baru bertatih mengenali dunia dan manusia.Akhirnya, debu tebal itu beransur pergi di bawa angin dan menzahirkan barakahnya walau ia mengambil masa yang cukup lama.Masa untuk mencari hikmah takdirNya,masa untuk menerima hakikat bahawa kebaikan mesti bermula daripada diri sebelum mengharapkannya wujud pada orang lain,dan yang lebih penting,masa untuk sedar bahawa tiada guna berpaling melihat masa lalu kecuali untuk mengambil ibrah dan pengajaran,jadi panduan hadapi masa mendatang.
Inilah kehidupan.Dan inilah yang kami belajar darinya.Cuma yang lebih istimewa,ada deru sungai nil yang mengiringi kami sepanjang kami bertalaqqi dengan kehidupan di sini.Bila-bila terngiang di telinga ini deruannya,InsyaAllah kami akan kembali ke sini.Pasti!Itu kami cukup pasti.

-Tanpa nama-

0 Comments:

Post a Comment

<< Home